Hafiz tunggu 'lampu hijau' dari India

Hafiz - Foto Agensi
Hafiz - Foto Agensi
A
A
A

BEKAS jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Hafiz Hashim menunggu lampu hijau daripada badan Induk Sukan India (SAI) dan Persatuan Badminton India (BAI) untuk melatih pemain wanita utama negara itu, P.V. Sindhu dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau tidak menyangka dapat memperoleh keserasian melatih pemain itu dalam tempoh dua minggu dan bersedia untuk meneruskan karier kejurulatihannya di India.

“Sudah pasti usaha kami adalah untuk menuju Olimpik Paris.

“Kalau sudah dapat keputusan kelak, mungkin secara tidak langsung kami akan tersenarai dalam skim Olimpik di sana (India),” ujar Hafiz.

Hafiz memulakan tugas sebagai jurulatih perseorangan di Akademi Badminton Suchitra, Hyderabad awal tahun ini selepas keluar dari BAM pada penghujung Disember tahun lalu.

Ketika bersama BAM jurulatih berusia 40 tahun itu membimbing skuad Bawah 15 tahun (B-15) lelaki negara.

Media melaporkan bintang badminton wanita India, Sindhu mahu Hafiz yang juga bekas juara All-England untuk menjadi jurulatihnya yang baharu, sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Paris tahun depan.

Agensi berita PTI pada Jumaat melaporkan, juara dunia 2019 itu telah memohon daripada pihak berkuasa sukan India untuk mendapatkan kebenaran berlatih di bawah bekas jurulatih Malaysia itu.

Hafiz yang berasal dari Kelantan menganggap peluang untuk melatih Sindhu satu peluang keemasan bagi menambah pengalaman selain mengembangkan lagi karier kejurulatihannya.

“Sebagai bekas pemain, kami pernah menjalani latihan berkelas dunia dan berada di kemuncak dunia. Jadi saya rasa sudah sampai masanya saya melatih pemain senior pula,” katanya.