Kerajaan tawar 4,000 Lesen PSV percuma kepada B40

Anthony (kanan) bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Program MyPSV Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Dewan Dato Abdul Halim Bandar Utama hari ini. - Foto Bernama
Anthony (kanan) bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Program MyPSV Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Dewan Dato Abdul Halim Bandar Utama hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BATANG KALI - Kerajaan menawarkan 4,000 Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) secara percuma kepada golongan B40 mengikut syarat-syarat yang ditetapkan menerusi program MyPSV, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,500 adalah untuk pemohon lesen PSV e-hailing dan teksi manakala 500 lagi ditawarkan untuk lesen PSV bas di seluruh negara melibatkan peruntukan RM2 juta.

Anthony berkata, selain membantu golongan B40 yang perlu menanggung kos RM2,590 untuk mendapatkan lesen PSV bas, inisiatif berkenaan adalah bagi memenuhi keperluan industri yang mengalami kekurangan pemandu bas pada tahap kronik.

"Negara memerlukan ribuan pemandu bas bukan sahaja Prasarana, malah juga syarikat bas ekspres dan bas henti-henti di seluruh negara.

"Saya difahamkan oleh beberapa syarikat bas ekspres bahawa memang mereka mengalami kekurangan pemandu dan kita tahu bahawa antara faktor yang tidak menjadi tarikan kepada orang ramai untuk menjadi pemandu bas adalah kerana gaji rendah,” katanya selepas melancarkan Program MyPSV Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di sini hari ini.

Anthony berkata, inisiatif itu ialah tanggungjawab dan komitmen kerajaan untuk membuka peluang dan ruang kepada masyarakat bagi mempertingkatkan taraf sosioekonomi serta pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan perkhidmatan awam.

"Selain itu, program ini secara langsung akan menyokong dan menambah baik kelangsungan sektor pengangkutan awam dan pelancongan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, program MyPSV ini dapat melahirkan pemandu bas, teksi dan e-hailing yang kompeten dan selamat kerana mereka akan menjalani latihan dan ujian untuk memastikan kompetensi sebelum diberi Lesen Vokasional PSV dan dibenarkan membawa kenderaan perkhidmatan awam.

Sehubungan itu, Anthony berkata, calon-calon di bawah Program MyPSV bas perlu menduduki Kursus Teori Vokasional, Latihan dan Ujian Praktikal (merangkumi litar dan jalan raya) setara dengan ketetapan sedia ada manakala calon-calon di bawah Program MyPSV E-Hailing hanya perlu menduduki Kursus Teori E-Hailing.

"Penetapan kesemua modul kursus ujian dan latihan yang dihasilkan adalah betul-betul kompeten dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas insiden kekecohan melibatkan seorang menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, Anthony secara ringkas berkata, proses kemasukan pelancong asing khususnya di KLIA akan ditambah baik kerana ia melibatkan isu keselamatan.

Beliau berkata, perkara ini kerana kerajaan pada masa sama turut mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang mesra pelancong. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Belum terima laporan menteri buat kecoh di KLIA - Anthony

Kecoh di KLIA: Kronologi dari hari pertama kes mula tular

Tular menteri didakwa buat kecoh di KLIA