Lebih RM5.6 juta bina bangunan baharu SK Kg Acheh

Wan Rosdy (tiga dari kanan) ketika merasmikan majlis ramah mesra bersama kepimpinan sekolah daerah Pekan dan penyerahan blok bangunan baharu sekolah itu, pada Isnin.
Wan Rosdy (tiga dari kanan) ketika merasmikan majlis ramah mesra bersama kepimpinan sekolah daerah Pekan dan penyerahan blok bangunan baharu sekolah itu, pada Isnin.
A
A
A

PEKAN - Bangunan tambahan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Acheh dengan kos lebih RM5.6 juta siap sepenuh April lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan bangunan itu dimulakan pada Jun 2020 menggunakan kaedah Sistem Bangunan Berindustri (IBS).

Menurutnya, pembinaan bangunan tambahan baharu sekolah itu bagi menggantikan bangunan kayu sedia ada kepada bangunan konkrit yang lebih selamat dan selesa.

"Bangunan tambahan ini bakal mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif serta dapat menyuntik semangat murid-murid untuk terus belajar.

"Pada masa sama, ia membuktikan kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana sekolah di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama kepimpinan sekolah daerah Pekan dan penyerahan blok bangunan baharu sekolah itu, di sini pada Isnin.

Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri berusaha untuk menaik taraf sekolah daif di negeri ini.

"Data-data telah dikumpulkan melibatkan sekolah-sekolah daif di negeri ini untuk proses permohonan kepada kerajaan persekutuan bagi tujuan naik taraf.

"Seperti biasa, permohonan akan melalui proses tapisan sebelum diluluskan mengikut kesesuaian dan keutamaan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, pembinaan Blok A Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah di Kotasas, di sini dijangka siap menjelang September ini.

"Proses pembinaannya giat dijalankan dan dijangka dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

"Dijangkakan perasmiannya akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada 25 September ini.

"Blok A menempatkan antaranya pejabat Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Exco dan mula beroperasi selepas mendapat kelulusan," katanya.