Tiga wanita ditahan disyaki terlibat judi sabung ayam

 Kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Kalumpang, Tawau, dijadikan sebagai lokasi judi sabung ayam.
Kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Kalumpang, Tawau, dijadikan sebagai lokasi judi sabung ayam.
A
A
A

TAWAU - Tiga wanita antara 12 individu yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan sabung ayam di kawasan ladang kelapa sawit di Kalumpang, di sini, pada Sabtu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang itu, semua individu yang ditahan berusia antara 17 hingga 71 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat awam dan risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

"Hasil siasatan mendapati lokasi berkenaan dipercayai sering dijadikan sebagai tempat kegiatan perjudian dan aktiviti sabung ayam.

"Hasil serbuan, seramai sembilan lelaki termasuk lima daripadanya adalah warga asing dan tiga lagi yang turut terlibat ialah wanita warga asing," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, semua suspek dan barang rampasan di bawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan lanjut, berjaya merampas tujuh ekor ayam sabung bersama set alat dipercayai bagi tujuan judi dan wang tunai bernilai RM1,210 dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan.

"Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63," katanya.