Wanita cedera dilibas penyamun

Tular gambar mangsa kejadian samun di Felda Air Tawar 4 Kota Tinggi pada Ahad.
Tular gambar mangsa kejadian samun di Felda Air Tawar 4 Kota Tinggi pada Ahad.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang wanita cedera di bahagian dagu akibat terkena libasan parang dalam kejadian samun di Felda Air Tawar 4 dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, mangsa berusia 50 tahun itu berada seorang diri di rumahnya ketika kejadian samun berlaku pada jam 12.40 tengah hari.

"Semasa mangsa tidur di dalam bilik, suspek bertopeng telah masuk ke dalam rumah dengan membawa sebilah parang.

"Suspek cuba menekup mangsa hingga terjatuh ke lantai lalu berlaku pergelutan hingga suspek bertindak melibas parang dan terkena di bahagian dagu mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Hussin, suspek sempat merentap seutas rantai tangan emas yang dipakai mangsa sebelum bertindak melarikan diri.

"Mangsa yang mengalami luka di bahagian dagu kini dilaporkan stabil dan mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

"Pihak polis Telok Sengat telah menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.31 petang dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian samun terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Esmal Fhahmie Abd Malek di talian 017-7183778 atau IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum itu tular di laman Facebook, gambar wanita dipercayai disamun di Felda Air Tawar 4 dalam keadaan berdarah di bahagian dagu.