Impian Dem Lepak Boyz, Firdaus Rahmat ke final Big Stage 2023 lebur

Dem Lepak Boyz, Firdaus Rahmat
Dem Lepak Boyz, Firdaus Rahmat
A
A
A

SHAH ALAM - Impian duo Dem Lepak Boyz dan Firdaus Rahmat untuk ke pentas akhir Big Stage 2023 yang berlangsung pada 9 Julai depan lebur apabila diumumkan tersingkir pada minggu separuh akhir yang disiarkan secara langsung pada Ahad.

Duo Dem Lepak Boyz yang terdiri daripada Zaidy atau nama sebenarnya Ahmad Zaidyansjah Ruddyansjah dan Hazel atau nama sebenarnya Meor Aiman Mukhris Mohd Sabri menyampaikan lagu C.H.R.I.S.Y.E menerusi tema BBNU Pun Nak Pilih Jugak, duet bersama Ayie Elham gagal memikat hati juri dan penonton di rumah.

Begitu juga dengan Firdaus yang menyampaikan lagu Stay bersama Ismail Izzani, terpaksa akur untuk pulang lebih awal.

Penyingkiran itu menyaksikan Nadeera Zaini yang mengungguli minggu separuh akhir dengan markah tertinggi mara ke peringkat akhir bersama Putera Muhammad, HoonDoo, Puteri Khareeza, Aufahanie dan Waode.

Persembahan para peserta dinilai Ajai dan Aina Abdul selaku juri tetap manakala Datuk AC Mizal hadir sebagai juri jemputan dan Scha Alyahya duduk di kerusi Presiden Netizen.

Sementara itu, Firdaus menerima anugerah Persembahan Paling PA-WA menerusi undian peminat manakala Nadeera pula menerima anugerah Dominasi Persembahan Terbaik. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Big Stage 2023 yang dikendalikan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi saluran 104 Astro Ria.

Juara bakal bawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM30,000 dan RM25,000 beserta trofi.

Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.

Sebelum ini, musim terdahulu Big Stage telah memahkotakan empat juara iaitu Sarah Suhairi (2018), Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan Elica Paujin (2022).