Dakwaan PN hanya momokan politik - Mahdzir

Mahdzir (duduk tengah) ketika sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Negeri BN/PH di sini pada Ahad.
Mahdzir (duduk tengah) ketika sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Negeri BN/PH di sini pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa sokongan pengundi muda beralih kepada mereka hanya momokan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia adalah perkara biasa apabila pelbagai persepsi akan memihak kepada PN.

Katanya, PN tidak boleh menyamakan situasi sokongan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan PRN yang akan datang.

"Ketika PRU15, semua parti politik berkejar untuk menubuhkan kerajaan di Putrajaya, tapi sekarang kita (BN-PH) dah tubuhkan kerajaan di Putrajaya dan di sini PN, jadi golongan muda ada ruang untuk buat pilihan.

"Malah selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, golongan muda serta pertengahan khususnya di negeri ini sudah dapat melihat peluang untuk mereka melakukan perubahan," Katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Negeri BN/PH di sini pada Ahad.

Mahdzir menambah, pembentukan Kerajaan Perpaduan yang kini memasuki tujuh bulan telah membuka mata rakyat termasuk golongan muda, sekiranya mereka membuat keputusan sama seperti PRU lalu ia tidak akan memberi manfaat kepada mereka.

Sementara itu ketika mengulas mengenai dakwaan Ketua Pengarah Pilihanraya PN, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke universiti-universiti untuk meraih sokongan kepada PH, Mahdzir berkata tindakan itu adalah kewajipan sebagai seorang Perdana Menteri.

"Perdana Menteri turun ke universiti untuk menjelaskan polisi (dasar) yang dibuat dalam Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani, jadi saya ingat bukan makna turun untuk dapat sokongan kepada PH.

"Tanggungjawab Perdana Menteri lebih daripada itu, Sanusi tidak boleh bandingkan antara PM dengan seorang yang nak dapatkan pengaruh sebab dia melebihi semua perkara, dia nak cakap tentang polisi dan arah panduan negara ini, tanggungjawab dan bagaimana nak membina negara," ujarnya.