BN senarai 80 peratus muka baharu PRN Kelantan

Zawawi
Zawawi
A
A
A

KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) Kelantan menyenaraikan kira-kira 80 peratus muka baharu untuk dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Zawawi Othman berkata, peratusan itu ialah daripada keseluruhan 155 nama yang dihantar untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti berkenaan.

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh itu, jumlah golongan muda pula melebihi 50 peratus daripada keseluruhan calon.

“Senarai nama-nama sudah pun dihantar melibatkan lima bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita memberikan lebih peluang kepada mereka yang lebih muda untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Ujar Zawawi, turut dihantar lapan nama calon wanita untuk dipertimbangkan dan keputusan memilih bergantung kepada kepimpinan pusat.

Beliau dalam pada itu mengharapkan rakyat Kelantan mengundi calon-calon parti itu pada PRN nanti sekali gus dapat mengukuhkan gabungan BN serta Pakatan Harapan (PH).

“Selain memikul tugas semak dan imbang, kami mampu menjadi satu gabungan yang kuat dalam membawa suara rakyat,” ujarnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pembahagian kerusi bagi PRN Kelantan memutuskan 14 kerusi akan ditandingi calon PH dan 31 kerusi lagi untuk calon BN.