Larikan peti besi wang, barang kemas lebih RM200,000

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA PILAH - Dua lelaki bersenjata tajam melarikan sebuah peti besi mengandungi wang dianggarkan RM100,000, barang kemas bernilai RM120,000 dan sebuah kereta dalam kejadian di Taman Impian Utama Jalan Melang di sini pada Khamis.

Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 11 malam membabitkan sebuah rumah di taman tersebut.

"Hasil siasatan awal mendapati dua suspek berkenaan memakai penutup muka dan bersenjata tajam telah masuk ke dalam rumah sebelum berlaku pergelutan dengan mangsa.

"Suspek bertindak mengugut mangsa menyerah barang-barang berharga kemudiannya melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, sebuah peti besi yang mengandungi sejumlah wang anggaran RM100,000, barang kemas anggaran nilai RM120,000, sebuah kereta Toyota Estima warna putih nombor pendaftaran WRW 3652 dan wang tunai RM1,000 telah dilarikan suspek.

"Polis giat memburu suspek yang masih bebas. Sehubungan dengan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Alice Kuba di talian 019-5389941 untuk membantu siasatan kes.

"Kes ini disiasat di bawah seksyen 395/397 kanun keseksaan iaitu samun berkawan bersenjata," katanya.