TI-M sokong laporan tahunan SPRM dibentang terus ke Parlimen

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim agar laporan tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibentangkan terus ke Parlimen bagi menangani segera masalah rasuah yang semakin tenat di negara ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Jumaat, TI-M menjelaskan bahawa di bawah Akta SPRM 2009, Seksyen 14(1) menetapkan bahawa Jawatankuasa Khas Rasuah bertanggungjawab dalam menasihati Perdana Menteri mengenai masalah rasuah di negara ini selepas meneliti laporan tahunan suruhanjaya itu dan menjelaskan ulasan Lembaga Penasihat.

"Ahli Parlimen yang menganggotai Jawatankuasa Khas Rasuah itu telah meluahkan kekecewaannya terhadap amalan semasa, yang mana penyerahan laporan tahunan diberi kepada dua jawatankuasa berasingan sebelum dihantar kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di Parlimen," katanya.

Terdahulu, Hassan ketika mencadangkan perkara itu berkata, amalan kebiasaan iaitu laporan tahunan SPRM perlu dibentangkan dulu kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) sudah tidak sesuai.

Jelas Hassan lagi, amalan mengemukakan laporan kepada pihak LPPR dan Jawatankuasa Khas Menangani Rasuah (JKMR) sebelum dihantar kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di Parlimen perlu diubah.

Beliau berkata, laporan SPRM itu perlu secara terus dibawa ke Dewan Rakyat serta di Dewan Negara untuk dibentangkan dan dibahaskan dalam usaha menangani rasuah.

Sementara itu, kenyataan itu turut memberitahu bahawa negara kini mempunyai masalah yang pincang dalam menangani isu rasuah dan kedua-dua pihak iaitu Perdana Menteri dan kerajaan memerlukan maklumat yang tepat bagi membuat tindakan yang pantas dan efisien.

"Kerajaan harus mempertimbangkan untuk menghapuskan semua birokrasi dan pada masa yang sama menjadikan SPRM benar-benar bebas dengan meminda Akta SPRM sebagai sebahagian daripada keseluruhan reformasi SPRM," tambahnya.