Bentang laporan tahunan SPRM terus ke Parlimen

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mencadangkan laporan tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibentang terus ke Parlimen untuk dibahaskan.

Menurut beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Menangani Rasuah (JKMR) di bawah SPRM, amalan kebiasaan iaitu laporan tahunan SPRM perlu dibentangkan dulu kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) sudah tidak sesuai.

Jelasnya, amalan mengemukakan laporan kepada pihak LPPR dan JKMR sebelum dihantar kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di Parlimen perlu diubah.

"Pusingan berbelit-belit ini macam melalui satu 'round-about' ke satu 'round-about' menyebabkan laporan asal SPRM tidak sampai ke Parlimen. Ini perlu dirombak atau direformasikan.

"Jika laporan Suhakam boleh terus dibentang dan dibahaskan di Parlimen, mengapa tidak kepada laporan SPRM?

"Jika laporan tahunan Ketua Audit Negara boleh terus dibentang dan dibahaskan di Parlimen, maka mengapa tidak kepada laporan tahunan SPRM," soalnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, laporan SPRM itu perlu secara terus di bawa ke Dewan Rakyat serta di Dewan Negara untuk dibentangkan dan dibahaskan dalam usaha menangani rasuah.

Selepas dibentang dan dibahaskan di Parlimen katanya, tiga panel pemantau yang dibentuk di bawah Akta SPRM 2009 perlu membuat kerja-kerja susulan lebih terperinci dan menyeluruh.

"Ini pada akhirnya membolehkan JKMR mengemukakan laporan kepada Perdana Menteri untuk memenuhi fungsinya di bawah seksyen 14(1)(a) iaitu menasihati Perdana Menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia," katanya.