Tular video gaduh rebut wanita: Polis tahan lapan individu

Tangkap layar video pergaduhan sekumpulan lelaki di luar sebuah pusat hiburan di Georgetown pada Khamis.
Tangkap layar video pergaduhan sekumpulan lelaki di luar sebuah pusat hiburan di Georgetown pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Lapan individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan yang berlaku di luar sebuah pusat hiburan di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua mereka berusia 21 hingga 29 tahun itu ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar ini antara jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah malam.

Menurutnya, semakan dibuat mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau selain tiga daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja dan eramin 5.

"Hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan pertengkaran mulut disebabkan mabuk dan kemudiannya mengakibatkan pergaduhan.

"Kesemua suspek kini direman selama dua hari sehingga Sabtu untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Jumaat.

Soffian berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 27 tahun yang mendakwa dipukul oleh sekumpulan lelaki di luar sebuah pusat hiburan kira-kira jam 2.15 pagi.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan sedang dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.


Terdahulu, tular gambar dan video rakaman kejadian pergaduhan berkenaan yang dipercayai berpunca daripada perebutan teman wanita antara dua lelaki.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!