Pembahagian kerusi PH-BN di Selangor selesai seminggu lagi

Amirudin (tengah) semasa sidang media pada Program Korban Perdana yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, pada Jumaat. - Foto Bernama
Amirudin (tengah) semasa sidang media pada Program Korban Perdana yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perbincangan bagi agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dijangka selesai dalam tempoh seminggu lagi, kata Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar Selangor itu berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan diharapkan penyelesaian bagi perkara berkenaan dapat dicapai tidak lama lagi.

"Saya rasa paling lama seminggu lagi (selesai perbincangan pembahagian kerusi),” katanya kepada pemberita pada Program Ibadah Korban Perdana Negeri Selangor di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor pada Jumaat.

Berkenaan gerak kerja PH, Amirudin berkata, parti itu telah rancak menggerakkan jenteranya terutamanya sejak bulan Ramadan lepas dan sedang menumpukan perancangan bagi kempen serta program untuk bertemu rakyat bagi menghadapi PRN.

Selangor antara enam negeri yang akan menghadapi PRN tidak lama lagi selain Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH yang bertanding menggunakan logo PKR ketika itu menang 51 daripada 56 kerusi DUN, diikuti BN dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi. - Bernama