Daftar IWK e-bil, terima RM2 rebat bil pembetungan

Pembayaran bil pembetungan IWK, kini boleh dibuat secara digital.
Pembayaran bil pembetungan IWK, kini boleh dibuat secara digital.
A
A
A

INDAH Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menganjurkan kempen rebat IWK e-Bill Jer dengan mendaftar bil pembetungan secara digital dan berpeluang untuk mendapatkan rebat RM2 dalam penyata bulanan yang seterusnya.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, apabila beralih kepada bil elektronik, ia bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran kertas tetapi membawa impak positif kepada alam sekitar malah sistem pengurusan penyata bulanan lebih lancar.

“Kempen ini bermula pada 1 Julai hingga 31 Disember 2023. Mereka yang mendaftar e-bil, layak untuk menerima rebat dan ia akan dimasukkan ke dalam bil pembetungan akan datang. Rebat ini tidak boleh dipindah milik dan hanya boleh digunakan dalam satu akaun sahaja.

“Bukan itu sahaja, kempen ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan cekap, seiring dengan usaha melestarikan alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada masa sama, Narendran memaklumkan bahawa selain kempen rebat IWK e-Bill Jer!, IWK turut menawarkan rebat tunai RM2.

Katanya, ia hanya diberikan kepada pelanggan yang membuat pembayaran minimum RM60 melalui Touch ‘N Go dan e-dompet, bermula 1 Julai hingga 31 Ogos 2023 dan terhad kepada 20,000 pelanggan pertama sahaja.

“Bagi menggalakkan pelanggan menerima kaedah pembayaran secara digital, insentif eksklusif ini tertakluk kepada semua pelanggan yang menggunakan Touch ‘N Go dan e-dompet untuk membayar bil pembetungan mereka.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha IWK untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menyediakan kemudahan pembayaran bil,” ujarnya.

Tambah Narendran, dengan mengikuti perubahan digital, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kemudahan kepada pelanggan dan mengurangkan impak jejak karbon individu.

Jelasnya, kini pelanggan tiada lagi berhadapan dengan masalah untuk menyusun timbunan penyata pembetungan kerana sudah tersedia pembayaran bil secara digital.

Maklumat lanjut mengenai kempen rebat IWK e-Bill Jer dan langkah pendaftaran sila layari www.iwk.com.my.