Bekalan dadah mesra pelanggan faktor penagih meningkat di Pahang

Sehingga Mei lepas sahaja seramai 2,515 penagih direkodkan, melebihi jumlah yang dicatatkan pada tahun lepas. (Gambar hiasan)
Sehingga Mei lepas sahaja seramai 2,515 penagih direkodkan, melebihi jumlah yang dicatatkan pada tahun lepas. (Gambar hiasan)
A
A
A

KUANTAN - Bekalan dadah yang mesra pelanggan atau 'di hujung jari; dilihat antara faktor menyumbang kepada peningkatan jumlah penagih di Pahang pada tahun ini, kata Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri, Zirwatul Ahlam Zamzam.

Beliau berkata, sehingga Mei lepas sahaja sebanyak 2,515 penagih telah direkodkan, melebihi jumlah penagih yang dicatatkan pada tahun lepas seramai 2,308 individu.

"Masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini masih terkawal namun terdapat peningkatan sedikit pada tahun ini yang kita lihat bekalan dadah yang dikatakan sebagai mesra pengguna telah menyumbang kepada peningkatan jumlah penagih.

"Kalau dahulu mungkin ada satu pot untuk dapatkan dadah, sekarang ia mobile pot kerana boleh didapati di mana sahaja selain lebih mudah apabila mereka hanya membuat pesanan melalui aplikasi dalam telefon bimbit dan bekalan boleh diperoleh misalnya menerusi penghantaran secara tunai," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum Covid-19 sekitar 2019, antara lokasi yang menjadi 'kegemaran; penagih ialah bangunan lama yang ditinggalkan selain ladang sawit atau getah.

Kini keadaan telah berubah apabila lokasi berkenaan tidak lagi menjadi pilihan utama dan berdasarkan risikan dijalankan, penagih cenderung menggunakan rumah sendiri, tandas awam atau kenderaan sebagai tempat melepaskan gian, katanya.

Menurutnya, keadaan kehidupan kini yang semakin menekan menyebabkan sesetengah individu menggunakan dadah sebagai sumber untuk lepaskan tekanan.

"Kalau lima tahun lepas mungkin dadah tradisional seperti heroin dan morfin menjadi pilihan penagih namun kini penggunaan dadah jenis sintetik antaranya seperti syabu telah mendominasi," katanya.

Sementara itu, Zirwatul Ahlam memaklumkan golongan belia antaranya terdiri daripada buruh am dan penganggur mencatatkan penglibatan tertinggi dengan bahan larangan itu di Pahang.

Menyentuh mengenai penglibatan golongan wanita dengan dadah, beliau berkata, ia masih rendah iaitu hanya 3.6 peratus daripada 2,386 penagih setakat April dan punca penagihan itu adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya dan pasangan selain tekanan akibat masalah keluarga.

"Bagi pelajar pula setakat ini tiada sebarang tangkapan dan tindakan undang-undang dikenakan, namun kami berusaha sehabis baik untuk kempen pencegahan bagi bendung mereka daripada terlibat dengan dadah.

"Kami juga bekerjasama erat dengan rakan strategik iaitu Kementerian Pendidikan untuk menjalankan usaha pencegahan. Selain itu, saya harap kaunselor dan guru di sekolah peka dengan perubahan anak murid... jangan sampai mereka terlibat dengan dadah untuk redakan tekanan dan masalah," katanya.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 12 kawasan berisiko tinggi penagihan dadah telah dan sedang melalui penghijauan bermula 2021 dengan pelbagai inisiatif telah dilaksanakan antaranya program konsultasi bersama komuniti, program jejak prihatin selain program pengesanan orang yang disyaki (OYDS).

Setakat ini, lima lokasi iaitu Mukim Gali dan Mukim Dong di Raub, Mukim Perak (Temerloh), Mukim Pekan (Pekan) dan Mukim Chenor/Kuala Sentul (Maran) telah dihijaukan. - Bernama