Raja Rama X ditabal sebagai Raja Thailand baharu

Raja Maha Vajiralongkorn ditabalkan menjadi Raja Thailand yang baharu dengan gelaran Raja Rama X. - Foto Bernama
Raja Maha Vajiralongkorn ditabalkan menjadi Raja Thailand yang baharu dengan gelaran Raja Rama X. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - THAILAND. Raja Maha Vajiralongkorn ditabalkan menjadi Raja Thailand yang baharu dalam upacara dipenuhi ritual keagamaan yang menyaksikan beliau memilih gelaran Rama X dari Dinasti Chakri yang diasaskan sejak tahun 1782.

Upacara pertabalan selama tiga hari, bermula hari ini hingga Isnin depan dimulakan tepat pada jam 10.09 pagi (waktu tempatan) di sebuah kuil dalam pekarangan kompleks Istana Besar di mana Raja Rama X menjalani ritual 'penyucian'.

Ritual terbabit menyaksikan baginda menyapu muka menggunakan air suci yang dikumpul daripada lebih 100 lokasi di 76 wilayah seluruh Thailand.

Raja Rama X, 66, kemudian mengambil tempat di takhta negara dan diberikan Great Crown of Victory, mahkota emas seberat 7.3 kilogram yang dihiasi berlian dari India.

Diiringi Permaisuri Sutida, baginda mengeluarkan dekri diraja pertama dan berikrar akan memerintah negara dengan penuh kejujuran bagi mewakili rakyat Thailand.

Mewarisi takhta diraja Thailand pada 13 Oktober 2016 ekoran kematian Raja Bhumibol Adulyadej pada tahun sama, Raja Rama X menunggu hingga tamat tempoh berkabung sebelum meneruskan upacara pertabalan tersebut.

Bagi kebanyakan rakyat Thailand, ini merupakan kali pertama mereka berpeluang menyaksikan upacara pertabalan penuh gah, kali terakhir upacara sedemikian berlangsung ialah ketika pertabalan mendiang Raja Bhumibol Adulyadej pada 5 Mei 1950. - AFP

Artikel Berkaitan: