Penganggur didakwa bunuh ibu kandung

No Image Caption
A
A
A

MUAR - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya di sebuah rumah di Taman Temiang Utama di sini, minggu lepas.

Tertuduh, Lim Seng Chai, 47, didakwa membunuh Tan Choo Gek, 73, antara 7 malam dan 8.20 malam, 18 Jun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 27 Julai untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.

Mahkamah turut memerintahkan Lim dihantar ke Hospital Permai di Johor Bahru bagi menjalani pemeriksaan mental.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabihah Mohd Noor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 19 Jun lepas, Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz dilapor berkata seorang warga emas maut dipercayai dibunuh anak lelakinya yang ditegur mangsa kerana membuat bising dalam kejadian di sebuah rumah.

Raiz Mukhliz dipetik berkata wanita itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta leher kerana dipercayai dipukul oleh anaknya yang didapati mempunyai rekod psikiatri lampau dengan menggunakan senjata tajam. - Bernama