Mesyuarat Kabinet khas tingkat peluang kerja belia

Khalid - Foto Bernama
Khalid - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah mengadakan mesyuarat Kabinet khas untuk berbincang mengenai usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan persekitaran ekonomi yang baik khusus bagi menangani masalah berkaitan pengangguran di kalangan belia, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Khalid, yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), berkata beberapa perkara dibangkitkan dalam mesyuarat itu, terutamanya berkaitan usaha kerajaan mewujudkan negara keusahawanan dan juga menerapkan budaya usahawan dalam kalangan belia.

“Tindakan dan dasar dibincangkan bagi menghasilkan suasana ekonomi yang lebih stabil di mana rakyat boleh terlibat melalui peluang pekerjaan dalam bidang keusahawanan yang bakal diwujudkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan MPBN Sidang Pertama 2019 di sini, hari ini.

“Kerajaan akan terus menghulurkan bantuan kepada golongan belia dalam usaha memperkasa mereka dalam pelbagai bidang keperluan serta memastikan agenda mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada mereka dapat direalisasikan,” katanya sebagai mengulas mengenai isu pengangguran dalam kalangan belia.

Sidang pertama MPBN hari ini menyaksikan 120 peserta daripada badan bukan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan di bawah Wilayah Persekutuan, membentang dan membahas enam usul utama.

Antara usul yang dibentangkan ialah mewujudkan satu unit Hal Ehwal Belia di bawah kuasa Menteri Wilayah Persekutuan, melantik belia sebagai Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan mencadangkan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) menjadi rakan strategik dalam pengurusan fasiliti di Parlimen.- Bernama

Artikel Berkaitan: