PRN Selangor: 50 peratus pegawai, anggota polis ditugaskan

Hussein Omar Khan
Hussein Omar Khan
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 50 peratus daripada 15,000 pegawai dan anggota polis di Selangor akan bertugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat persiapan sejak bulan lepas khususnya latihan bagi pegawai dan anggota yang terlibat sebelum, sewaktu dan selepas PRN dijalankan.

"PRN ini juga akan ada bantuan (polis) dari negeri lain yang tidak terlibat dengan PRN,” katanya kepada pemberita selepas program Training of Trainers (TOT): Kempen Memerangi Keganasan Rumah Tangga Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa.

Dalam pada itu, Hussein berkata, buat masa ini cuti pegawai dan anggota di Selangor juga masih belum dibekukan dan kawasan titik panas untuk PRN sudah dikenal pasti serta akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Menerusi kempen yang dilaksanakan, Hussein mendedahkan perselisihan faham antara pasangan, tekanan di tempat kerja serta masalah kewangan antara faktor utama berlakunya keganasan rumah tangga di Selangor.

Menurutnya, berdasarkan statistik, sebanyak 944 kes dilaporkan pada 2020, 2021 (1,713), 2022 (1,284) dan setakat April tahun ini merekodkan 423 kes serta ada kes yang dilaporkan sehingga menyebabkan kematian.

"Daerah (pentadbiran polis) Petaling Jaya, Gombak, Hulu Selangor dan Kajang merekodkan antara jumlah tertinggi kes keganasan rumah tangga,” katanya.

Namun jelas Hussein, walaupun statistik negeri itu mencatatkan trend peningkatan, keadaan itu tidak menggambarkan Selangor antara negeri paling tinggi berlaku keganasan rumah tangga susulan jumlah penduduk yang ramai.

Jelasnya juga antara punca kes berkenaan dilihat meningkat disebabkan kesedaran masyarakat untuk melaporkan kepada pihak berkuasa adanya keganasan rumah tangga berlaku dalam kalangan mereka.

"Banyak kempen (kesedaran berhubung keganasan rumah tangga) dilaksanakan oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan menjadi antara faktor individu tampil untuk membuat laporan polis dan tindakan serta siasatan wajar juga diambil di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya. - Bernama