Amah Indonesia mengaku salah cedera anak majikan dengan seterika

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Seorang amah warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tuduhan mendera anak majikannya berusia setahun enam bulan dengan seterika, kira-kira dua minggu lepas.

Komala Sari, 26, didakwa melakukan penganiayaan itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berkenaan, di sebuah rumah di D'Festivo Medan Ipoh, Festival Walk@Ipoh, Kinta pada 12 tengah hari pada 17 Jun.

Berikutan itu, Komala yang baru bekerja selama tiga bulan dengan keluarga mangsa, didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, bapa mangsa yang berusia 44 tahun telah membuat laporan polis pada 17 Jun lepas setelah menerima aduan daripada isterinya yang juga ibu mangsa, apabila mendapati terdapat kesan melecur pada bahagian punggung hingga betis kanak-kanak berkenaan.

Tertuduh memberikan alasan bahawa mangsa bermain dengan seterika yang berada di dalam bilik apabila ditanya tentang kesan lecur itu.

Ibu mangsa yang curiga telah membawanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan dan dinasihatkan membuat laporan polis kerana mengesyaki luka lecur itu adalah akibat kesan didera.

Timbalan Pendakwa Raya K Darinee memohon mahkamah agar tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin dan memohon satu tarikh lain untuk sebutan semula kes dan laporan perubatan penuh mangsa.

Hakim Azizah Ahmad kemudian menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes. - Bernama