SPRM belum buka siasatan isu skandal Opcom

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum membuka kertas siasatan mengenai dakwaan salah guna kuasa membabitkan Telekom Malaysia Bhd (Telekom) dengan Opcom Sdn Bhd (Opcom) bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk meneliti dakwaan berkenaan memandangkan ia berlaku kira-kira 20 tahun lalu.

"SPRM perlu meneliti dengan telus berhubung dakwaan berkenaan. Setakat ini tiada siasatan dibuka, kita sedang meneliti perkara itu dan siasatan akan dibuka jika maklumat diperlukan lengkap.

“Isu ini sudah lama, kita perlukan sedikit masa, kita akan melihat perkara ini dengan telus. Ketelusan perlu ada daripada kami untuk jalankan siasatan kepada sesiapa jua,” katanya selepas merasmikan Hari Integriti, di sini pada Selasa.

Pada 17 Jun lalu, Azam dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya ada aduan dan mempunyai asas di bawah kesalahan rasuah.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Telekom mengeluarkan surat untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

Surat berkenaan dikeluarkan kepada Kementerian Kewangan pada 15 September 2003 yang mana Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad, manakala anak ketiganya, Datuk Seri Mukhriz adalah Pengarah Opcom