Fitnah Teresa: ADUN Kubu Gajah beri keterangan tiga jam

Khalil (kanan) bersama Pegawai Khasnya, Anas Al Kautsar selepas selesai memberi keterangan polis di IPD Taiping pada Selasa.
Khalil (kanan) bersama Pegawai Khasnya, Anas Al Kautsar selepas selesai memberi keterangan polis di IPD Taiping pada Selasa.
A
A
A

TAIPING - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Khalil Yahaya selesai memberi keterangan kepada polis berhubung fitnah pelantikan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Bekas Timbalan Speaker DUN Perak itu tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping jam 9.48 pagi pada Selasa bersama tiga individu yang mengendalikan akaun Facebooknya.

Beliau dilihat keluar dari pekarangan IPD sekitar jam 1.10 petang selepas hampir 3 jam diambil keterangan.

Ketika ditemui, wakil rakyat Pas berusia 44 tahun itu berkata, keterangan mereka diambil berhubung dua hantaran di Facebook iaitu berkaitan lantikan Teresa dalam Felda dan Tiga Amanat Buat Pejuang Islam daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

"Kita telah beri kerjasama dan segala keterangan yang diperlukan oleh pegawai (polis) tadi telah dijawab dengan baik.

"Semuanya berjalan sempurna tanpa ada apa-apa masalah langsung, malah layanan diberikan pegawai sangat profesional, kita diberi minum dan boleh sembang dengan baik," katanya.

Beliau mengakui, pengendali akaun Facebooknya telah tersilap memuat naik status berkaitan lantikan Teresa dan hantaran itu telahpun dipadam sebelum membuat satu permohonan maaf.

Pihaknya juga menafikan hantaran tiga amanat yang dikongsi pengguna akaun sosial Migdad Zakaria, minggu lepas merupakan hantaran daripada Facebooknya.

"Saya telah membuat satu laporan polis pada 24 Jun lalu di IPD Taiping bagi menafikan perkara ini.

"Buat masa ini, telefon bimbit saya dan tiga lagi pengendali Facebook telah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan," katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan, polis menerima laporan dibuat Teresa Kok berhubung poster pelantikannya sebagai Pengerusi Felda.

Siasatan polis mendapati berita palsu itu berasal dari laman sosial Facebook Khalil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.