Belia, pelajar IPT mula tebus bantuan eBeliaRahmah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bantuan tunai eBeliaRahmah sebanyak RM200 kepada belia berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) yang layak, mula ditebus hari ini dan dimanfaatkan sebagai ‘duit poket’ membeli keperluan harian seperti bekalan makanan dan kegunaan akademik.

Di ibu negara, rata-rata golongan belia dan pelajar IPT menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang prihatin terhadap kehidupan mereka, sedikit sebanyak membantu menampung kos sara hidup di bandar termasuk kos pengangkutan terutamanya mereka yang menceburi pekerjaan ekonomi gig seperti penghantar makan.

Seorang penghantar makanan separuh masa, Mohd Ikhwan Md Salleh,20, yang juga pelajar IPT berkata, wang bantuan itu akan digunakan sepenuhnya untuk menampung kos minyak petrol motosikal untuk menghantar makanan.

"RM200 cukup juga untuk duit minyak motor selama dua minggu, jimat juga duit... terima kasih kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Semakan di aplikasi media sosial Twitter pula mendapati penerima eBeliaRahmah saling berkongsi pengalaman mereka menerusi tanda pagar #eBelia serta #ebeliarahmah dan kebanyakan mereka gembira selain memuji proses penebusan menerusi tiga penyedia perkhidmatan e-dompet Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet yang lancar dan mudah.

Seorang pengguna @AbganF menciap: "Done claim ebelia rahmah. Saya sudah, anda bila lagi #EBeliaRahmah”.

Seorang lagi pengguna Twitter @thxeyyy menciap: "twitter perlu tahu saya seorang student, terima kasih PMX @anwaribrahim #EBeliaRahmah”.

Di MELAKA, Siti Norhafiza Ismail, 23, yang sedang menjalani latihan industri berkata, bantuan eBeliaRahmah sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan harian terutama kos penggunakan petrol apabila beliau banyak bergerak ke pelbagai lokasi yang ditugaskan.

"Latihan industri memerlukan saya bergerak ke banyak lokasi dan tentunya perbelanjaan harian terutama untuk mengisi minyak kereta bertambah. Bantuan eBeliaRahmah sangat membantu dan saya akan gunakan sebaik mungkin,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Kewartawanan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu.

Di PAHANG, penuntut semester akhir Ijazah Sarjana Muda Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Muhammad Hafizan Aliff Halimi, 23, berkata bantuan itu sedikit-sebanyak membantu perbelanjaan hariannya sebagai pelajar yang tinggal di asrama dan berjauh dengan keluarga.

Sementara itu di PERLIS, pelajar tahun dua Fakulti Perniagaan Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Syahira Saprizal, 22, berkata, bantuan eBeliaRahmah itu digunakan sepenuhnya untuk menampung kos menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

"RM200 adalah satu jumlah yang besar bagi kami yang masih belajar, saya akan guna duit itu untuk membeli kertas, dakwat mesin pencetak dan keperluan lain untuk siapkan tugasan akademik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Di JOHOR pula, pelajar IPT Noor Azneera Riyana Mohd Azim, 20, berkata, beliau sanggup menunggu sejak awal pagi bagi mendaftar dan menebus bantuan eBeliaRahmah yang boleh diakses di platform e-dompet bermula 8 pagi tadi.

Di PERAK, lepasan matrikulasi aliran sains komputer di Kolej Matrikulasi Perak, Nursharmien Ain Asyriena Mohd Rizal, 19, berkata urusan pendaftaran bantuan menerusi TnG eWallet amat mudah, malah wang itu boleh digunakan secara terus melalui aplikasi itu tanpa perlu pengeluaran secara tunai.

Bagi Muhammad Danish Muqri Mohd Tajudin, 19, pendaftaran bantuan tunai itu hari ini lancar walaupun trafik pendaftaran dalam talian pagi tadi agak sibuk dan akan mengunakan wang berkenaan di kedai yang menawarkan pembayaran melalui TnG eWallet.

Pengalaman sama turut dikongsikan belia dan pelajar IPT di SABAH dan SARAWAK yang antara lain turut mencadangkan agar kerajaan memperluas dan memudahkan agihan bantuan secara luar talian seperti dikreditkan terus ke akaun bank terutama di kawasan yang kurang mendapat liputan Internet.

Penerima bantuan itu, Redona Isabel Cyril, 19, yang juga pelajar Politeknik Kota Kinabalu berkata, kawasan luar bandar seperti kampungnya di Pitas amat sukar mencari perniagaan yang mengunakan aplikasi e-dompet dan menyukarkan penerima eBeliaRahmah menikmati manfaat itu.

Senada dengannya, penuntut Institut Pengajian Guru (IPG) Kampus Miri, Sarawak Nur Zulaikha Elyana Samasu, 20, berkata, kerajaan perlu mempelbagaikan kaedah menyalurkan bantuan itu seperti dikreditkan terus ke akaun bank penerima agar belia di luar bandar tidak tertinggal menikmati manfaat itu.

Sementara itu, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Khairunnisa Mazlan,18, berkata, bantuan kepada belia seperti eBeliaRahmah perlu dilaksanakan secara konsisten sebagai suntikan semangat untuk mereka belajar bersungguh-sungguh seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam pada itu, terdapat juga keluhan penuntut IPT yang gagal menerima bantuan itu atas alasan tidak memenuhi kriteria bantuan meskipun mereka masih berstatus pelajar sepenuh masa, justeru mereka berharap agar kerajaan meneliti kaedah yang lebih telus dan komprehensif agar bantuan dapat dinikmati golongan yang layak. - Bernama