Ibu maut nahas ketika hantar anak ke sekolah

Keadaan kereta yang dinaiki mangsa bersama empat anaknya selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 77 Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Kluang, pada Isnin.
Keadaan kereta yang dinaiki mangsa bersama empat anaknya selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 77 Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Kluang, pada Isnin.
A
A
A

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut, manakala enam cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 77 Jalan Johor Bahru-Air Hitam dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian yang berlaku pada jam 7.30 pagi itu melibatkan dua buah kereta Perodua Axia dan sebuah lori pasir.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika pemandu lori pasir dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam ke Simpang Renggam, manakala kereta Perodua Axia datang dari arah bertentangan.

"Sebaik sampai di lokasi, Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki dikenali sebagai Adam Chua, 20, secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertembung dengan sebuah lagi kereta Perodua Axia yang dipandu seorang wanita dikenali Nor Hayati, 45.

"Akibat pertembungan itu, kereta dipandu Adam berpusing dan masuk semula ke laluan asal sebelum dilanggar sebuah lori pasir yang dipandu oleh Mohamad Aidil, 20-an," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kejadian itu juga menyebabkan Nor Hayati maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian dada dan kaki.

"Empat anak mangsa berusia enam hingga 16 tahun yang berada dalam kereta itu turut cedera dan dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom serta Klinik Kesihatan Simpang Renggam.

"Pemandu Perodua Axia bersama seorang penumpang juga cedera dan dirujuk ke Hospital Pakar KPJ Kluang untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Katanya, kemalangan itu berlaku ketika wanita berkenaan dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah berhampiran kawasan kemalangan.

Tambah beliau, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.