Lebih 10 rumah rosak dilanda ribut

Mangsa kejadian ribut Norfaezah Che Mansur, 35, melihat ruang tamu rumahnya yang tercabut atap dalam kejadian ribut petang Ahad di Kampung Permatang Sungkai. - Foto Bernama
Mangsa kejadian ribut Norfaezah Che Mansur, 35, melihat ruang tamu rumahnya yang tercabut atap dalam kejadian ribut petang Ahad di Kampung Permatang Sungkai. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR PUTEH - Lebih 10 rumah rosak akibat dihempap pokok dalam kejadian ribut di lima lokasi berbeza di sini, petang Ahad.

Pegawai Jabatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Puteh, Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, kawasan itu membabitkan Kampung (Kg) Bukit Abal, Kg Permatang Rambai, Kg Sungai Durian, Kg Sungai Kelong dan Kg Selising.

"Setakat ini, 10 rumah yang dilaporkan rosak dihempap pokok telah kami bersihkan. Terdapat beberapa rumah lagi akan dibersihkan petang ini dan kami jangka tugasan ini akan dapat diselesaikan sepenuhnya esok," katanya ketika ditemui pemberita, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nik Mohd Nor berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan kerosakan hanya membabitkan kediaman dan sebuah kenderaan di Kampung Permatang Rambai.

Mangsa kejadian ribut Fatimah Salleh, 62, membersihkan ruang dapur rumahnya, yang dilanda ribut petang Ahad. - Foto Bernama
Mangsa kejadian ribut Fatimah Salleh, 62, membersihkan ruang dapur rumahnya, yang dilanda ribut petang Ahad. - Foto Bernama

Sementara itu, mangsa, Fatimah Salleh, 62, dari Kampung Permatang Sungkai berkata. ketika kejadian kira-kira 7 malam itu, dia berada di bahagian dapur sebelum bergegas keluar menutup suis lampu selepas mendengar guruh yang kuat.

"Sebaik saya menutup suis lampu, tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat di bahagian dapur, tanpa berlengah saya mengarahkan anak-anak segera keluar ke ruang tamu untuk selamatkan diri sebelum melihat sebatang pokok telah menghempap rumah kami.

"Saya rasa sangat sedih sebab kejadian yang berlaku ini sebelum Hari Raya Aidiladha. Saya sudah merancang untuk menyediakan beberapa juadah untuk persediaan raya tetapi semua itu terpaksa dilupakan sebab dapur sudah rosak," katanya.

Anggota Jabatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pasir Puteh membantu membersihkan rumah yang dilanda ribut di Kampung Permatang Sungkai. - Foto Bernama
Anggota Jabatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pasir Puteh membantu membersihkan rumah yang dilanda ribut di Kampung Permatang Sungkai. - Foto Bernama

Seorang lagi mangsa, Norfaezah Che Mansur, 35, pula berkata, ketika kejadian beliau sedang berbual dengan suaminya Mohd Tarmizi Ismail, 43, yang sedang bersiap untuk ke surau.

"Nasib baik suami masih ada di rumah ketika kejadian dan kami sempat menyelamatkan diri. Hampir keseluruhan bumbung rumah tercabut dan separuh daripada rumah kami roboh.

"Saya harap lebih ramai dapat tampil membantu semua mangsa ribut di sini agar kami dapat meraikan sambutan Aidiladha seperti orang lain Khamis ini," katanya. - Bernama