PM minta nombor telefon jatuhkan martabat wanita - Zuraida

Laporan Sinar Harian. Zuraida (kanan).
Laporan Sinar Harian. Zuraida (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri yang meminta nombor telefon seorang pelajar perempuan Tingkatan Enam itu disifatkan sebagai tidak profesional dan amat menakutkan kerana datangnya daripada seorang pemimpin negara.

Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa, perbuatan itu secara langsung telah menjatuhkan martabat wanita dan seolah-olah telah membawa negara ini kepada zaman jahiliah yang memandang kaum hawa hanya sebagai objek semata-mata.

“Seorang Perdana Menteri sewajarnya menjaga decorum dan etika dalam menghadiri majlis-majlis yang melibatkan umum, serta tidak seharusnya bersikap seperti sedemikian.

“Wanita Malaysia secara amnya telah berjuang untuk mengangkat martabat negara dalam pelbagai bidang dan seharusnya dihormati sebagai tulang belakang pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, Anwar ketika dalam program Temu Siswa di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berseloroh dengan bertanyakan nombor telefon kepada seorang perempuan Tingkatan Enam di sebuah sekolah selepas ditanya beberapa soalan.

Gurauan Ahli Parlimen Tambun itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Dalam pada itu, ujar Zuraida yang juga Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) itu, Anwar wajar memohon maaf dan segera membetulkan perkara tersebut sebelum ia dianggap sebagai satu norma baharu dalam pemerintahan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Sebagai seorang ibu, saya juga risau dengan perkembangan ini kerana jika seorang Perdana Menteri menunjukkan sikap sebegini di dalam satu forum di hadapan khalayak ramai, apakah nasib anak muda wanita di negara ini yang ingin terlibat secara langsung dalam program-program diskusi terbuka lain yang dianjurkan oleh pihak kerajaan?

“Selain itu, saya turut ingin memuji tindakan Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz yang dengan lantang telah menegur Perdana Menteri secara terbuka mengenai hal ini di kala seluruh sayap wanita Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang berada dalam Kerajaan Perpaduan sedang duduk diam, membisu seribu bahasa,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Tak wajar PM berseloroh tanya nombor telefon pelajar perempuan