Malaysia azam kurangkan pelepasan karbon - Anwar

Anwar melawat pameran selepas selesai ucaptama di acara Energy Asia 2023 di Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Bernama
Anwar melawat pameran selepas selesai ucaptama di acara Energy Asia 2023 di Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berazam untuk berada pada kedudukan yang baik bagi memainkan peranannya dalam mengurangkan pelepasan di samping memastikan ia bersedia untuk pertumbuhan ekonomi rendah karbon, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, katanya, Malaysia telah menyemak Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) untuk mengurangkan keamatan (intensity) pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding tahap 2005 sebagai sebahagian daripada tanggungjawab negara terhadap sasaran iklim global secara keseluruhan.

"Usaha ke arah mencapai NDC kita telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022 - 2040. Dokumen dasar ini melakar secara strategik jalan ke hadapan dan menggariskan keutamaan bagi sektor tenaga pada tahun-tahun akan datang.

"Ia meletakkan sektor tenaga sebagai pemangkin utama pembangunan sosioekonomi dan Aspirasi Negara Rendah Karbon yang progresif akan memastikan ekonomi Malaysia dapat memanfaatkan peluang yang muncul daripada peralihan tenaga untuk kekal berdaya tahan dan mampan,” katanya dalam ucaptama di acara Energy Asia 2023 di sini pada Isnin.

Anwar berkata, untuk melaksanakan dasar ini dengan jayanya agar dapat meraih manfaat sepenuhnya daripada kemajuan sosioekonomi yang ketara untuk negara, kerajaan sedang membangunkan lagi beberapa pelan hala tuju strategik.

"Yang paling penting ialah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional yang akan menggariskan strategi menyeluruh dan inisiatif berimpak tinggi untuk mempercepatkan usaha peralihan tenaga.

"Pelan hala tuju ini akan dilengkapkan dengan Pelan Tindakan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen yang akan membuka jalan kepada pencapaian keterjaminan tenaga jangka panjang yang mampan alam sekitar di Malaysia, dipacu oleh inovasi teknologi,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kedua-dua pelan hala tuju ini disasar dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.

Sementara itu, Malaysia terus melihat gas asli memainkan peranan penting dalam campuran tenaga dan antara hidrokarbon pembakaran paling bersih untuk beralih ke arah ekonomi karbon yang lebih rendah.

Pada masa yang sama, kerajaan yang menyedari kepentingan mengurus pelepasan metana sebagai gas rumah hijau yang sangat kuat, komited untuk menyertai ikrar metana global bagi mengurangkan pelepasan sebanyak 30 peratus menjelang 2030 berbanding tahap 2020.

"Industri matang sedia ada kita juga menawarkan beberapa kesamaan semula jadi kepada tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi rendah karbon. Sebagai pengeluar tradisional gas asli dan gas asli cecair, hidrogen mewakili langkah semula jadi seterusnya dalam rantaian nilai dan menawarkan peluang yang berpotensi untuk pertumbuhan ekonomi selanjutnya,” tambahnya.- Bernama