Anggota TUDM maut, 2 jurulatih cedera sesi latihan di Gemas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEMAS - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan berlaku insiden kemalangan melibatkan tiga anggotanya di Tapak Latihan Grenade Asas, Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin di sini pada Ahad.

TUDM dalam kenyataan media berkata, insiden itu berlaku jam 12.10 tengah hari ketika anggotanya sedang menjalani latihan menembak senjata bantuan dan bom lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23.

"Kemalangan berlaku mengakibatkan seorang penuntut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua jurulatih mengalami kecederaan diberikan rawatan awal di Hospital Tentera Darat Gemas dan telah dirujuk ke Hospital Segamat.

"Pihak TUDM telah menghubungi waris anggota yang terlibat dan menyerahkan kejadian berlaku kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan," katanya.

Menurutnya, TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sehubungan itu katanya, semua pihak digesa tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan dijalankan polis selesai dan menghormati sensitiviti keluarga anggota yang terlibat.

"Maklumat perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.