Op Samseng Jalanan: 290 saman dikeluarkan, 54 motosikal disita

Kumpulan mat rempit yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di kawasan R&R BORR pada malam Sabtu.
Kumpulan mat rempit yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di kawasan R&R BORR pada malam Sabtu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Kegiatan sekumpulan mat rempit yang membuat bising di kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) mengundang padah selepas mereka ditahan dalam Op Samseng Jalanan, pada malam Sabtu.

Operasi dilakukan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara bermula jam 11.45 malam itu memeriksa lebih penunggang 200 motosikal yang berada di kawasan berkenaan.

Hasilnya, sebanyak 54 motosikal disita manakala 290 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Asri Shafie ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Menurutnya, ketika operasi itu dilakukan, kumpulan mat rempit berkenaan sedang melepak dan membuat bising.

"Kebanyakan motosikal yang diperiksa diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan selain ada di antara mereka tidak mempunyai lesen yang sah.

"Kesemua yang ditahan berusia 18 hingga 30 tahun dan motosikal yang disita dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik SPU," katanya.

Sementara itu, Asri berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral seperti ini dan operasi secara giat akan diteruskan bagi membendung kegiatan tersebut.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti ini diminta untuk menyalurkannya kepada Bilik Gerakan IPD SPU di talian 04-5759122.