RM5.2 bilion subsidi elektrik bantu kurangkan sara hidup - MEF

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Subsidi elektrik bernilai RM5.2 bilion yang diumumkan kerajaan baru-baru ini akan banyak membantu majoriti pengguna domestik dan bukan domestik dalam menampung kos produk dan perkhidmatan yang lebih tinggi, menurut Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, tanpa subsidi itu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, kedai atau kilang roti, bengkel kecil, petani, penternak, penanam dan perniagaan seumpamanya akan dibebani dengan peningkatan tarif elektrik.

"Penting bagi perniagaan terutama PMKS dibantu dalam usaha mereka memulihkan perniagaan dan menjadi lebih mampan serta pada masa sama membantu untuk menstabilkan pasaran tenaga kerja.

"Melalui bantuan yang sewajarnya dan pewujudan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif, perniagaan akan dapat mencipta pekerjaan baharu yang lebih berkualiti untuk menyediakan peluang kepada graduan baharu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Jun lepas, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM5.2 bilion subsidi elektrik untuk mengurangkan kesan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis, 2023.

Subsidi ini bertujuan memastikan majoriti pengguna domestik dan pengguna voltan rendah bukan domestik tidak akan terjejas susulan pelarasan tarif elektrik, manakala pengguna bukan domestik voltan tinggi dan voltan sederhana akan menikmati pengurangan kos elektrik mereka.

Syed Hussain juga berharap kerajaan dapat berkongsi pelan pelarasan tarif elektrik selepas 31 Disember 2023 tidak lama lagi.

"Kami berharap kerajaan akan terus memberikan subsidi pelarasan tarif elektrik untuk 2024 bagi membolehkan perniagaan pulih sepenuhnya berikutan situasi pasaran dunia yang tidak menentu akibat krisis Ukraine-Rusia yang berlanjutan selain keadaan iklim melampau yang mungkin memberi kesan kepada bekalan makanan.

"Bantuan kerajaan akan sangat membantu dalam memastikan pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Syed Hussain juga menyambut baik komitmen Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam menggalakkan amalan kecekapan tenaga dan peralihan kepada penggunaan tenaga boleh baharu melalui pemasangan sistem fotovoltaik (PV) solar sebagai pilihan untuk pengguna menguruskan bil elektrik secara lebih baik.

"(MEF berharap) pengguna domestik dan bukan domestik dapat memanfaatkan kelonggaran syarat di bawah program Pemeteran Tenaga Bersih dan program Penggunaan Sendiri untuk Pemasangan PV Solar sekali gus menyokong inisiatif untuk kelestarian alam sekitar yang lebih baik dan pada masa sama mengurangkan bil elektrik keseluruhan mereka,” katanya. - Bernama