Harrif cari basikal trek

Harrif (depan) membuat penampilan bersama TSG pada perlumbaan LTdL 2022.
Harrif (depan) membuat penampilan bersama TSG pada perlumbaan LTdL 2022.
A
A
A

JAGUH berbasikal lebuh raya negara, Mohd Harrif Saleh terpaksa menggunakan laman sosial Facebook untuk meminta bantuan penajaan basikal trek bagi tujuan latihan dan menyertai sesuatu kejohanan.

Menurut Harrif atau lebih dikenali dengan panggilan Mamat, dia tidak mempunyai cara lain untuk mendapatkan bantuan pihak luar selain daripada meluahkan isi hatinya itu di laman Facebook miliknya baru-baru ini.

“Sebenarnya memang saya jarang nak bercerita tentang masalah diri saya di laman sosial. Takut nanti ada pihak lain pula yang salah erti dengan apa yang saya luahkan itu.

“Tetapi baru-baru ini saya mengaku memang ada menulis perihal masalah berkenaan ketiadaan basikal trek. Saya sudah tidak tahu dengan siapa perlu saya bercerita, jadi saya luahkan sahaja di Facebook.

“Memang itulah ceritanya. Saya ada minta bantuan jika ada pihak yang sudi menaja basikal trek atau peralatan lain yang membolehkan saya berlatih dan menyertai pertandingan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Kelibat Harrif kembali mencuri tumpuan apabila dia membuat penampilan pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai yang berakhir pada Isnin lalu.

Sekalipun hanya membuat persiapan dua minggu, pakar pecut Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) itu berjaya menamatkan acara elimination (perlumbaan penyingkiran) di tangga kelapan daripada 15 pelumba bertanding.

Untuk rekod, kali terakhir pelumba kelahiran Terengganu berusia 35 tahun itu membuat penampilan di pentas ACC adalah pada edisi 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras yang menyaksikan dia meraih gangsa acara scratch.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya ada menyimpan hasrat beraksi pada Sukan Olimpik. Saya lihat peluang layak ke Olimpik bagi acara trek ini lebih besar berbanding saingan dalam lebuh raya.

“Jika ada basikal (trek) sendiri, bolehlah saya berlatih dan kalau ada rezeki, sudah tentu saya mahu mengumpul mata kelayakan Sukan Olimpik. Saya percaya semua ini tidak mustahil.

“Saya akan terus pandang ke depan, saya tidak mahu buat kerja separuh jalan. Buktinya, tahun ini sahaja saya dah kembali bersaing di trek velodrom pada Kejohanan Kebangsaan dan ACC,” jelasnya.

Sepanjang kariernya setakat ini, antara rekod kejayaan Harrif adalah memenangi tiga peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) selain menyambar lima pingat emas pada temasya Sukan SEA.