Kenyataan Tony Pua tidak jejaskan PRN - Mat Sabu

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan korup tidak akan menjejaskan Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kenyataan tersebut hanyalah pandangan peribadinya dan tidak mewakili parti iaitu DAP.

“Setiausaha Agung DAP sudah buat pendirian dan pendirian itulah pendirian parti. Ia tidak jejaskan PRN. Itu (Tony Pua) ahli, biasalah keluarkan pelbagai pandangan. Itu tiada masalah.

“Kami dalam Amanah pun ada pandangan tetapi pandangan parti yang diambil kira,” katanya kepada media selepas Jelajah Mega Madani di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Sabtu.

Tony Pua pada Jumaat menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai pakatan korup.

Sehubungan itu, Tony menyuarakan harapan supaya PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, ucapan daripada Tony yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan.

Tambah Anthony, sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam kerajaan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini.