Polis Bangladesh tahan pemimpin militan paling dikehendaki

Shamin Mahfuz (dua dari kiri) yang ditahan di Dhaka. - Foto AFP
Shamin Mahfuz (dua dari kiri) yang ditahan di Dhaka. - Foto AFP
A
A
A

DHAKA - Polis Bangladesh menahan seorang ketua pertubuhan Islam yang sedang bersembunyi di Dhaka, selepas beberapa bulan melancarkan operasi memburu saki-baki anggota kumpulan itu.

Pengasas Jamaat al Ansar fil Hindal Sharqiya, Shamin Mahfuz didakwa membantu menjalankan kem latihan militan di Chittagong Hill Tracts yang sedang bergolak itu.

Polis berkata, Shamin ditahan pada lewat Jumaat dengan isterinya di pinggir ibu negara dan turut menjumpai pistol, bahan letupan serta membuat bom.

"Satu kes antikeganasan telah difailkan terhadap Shamin. Kami memohon tahanan reman 10 hari untuk menyoalnya," kata jurucakap unit antikeganansan Polis Metropolitan Dhaka, Mohammad Asaduzzaman.

Bagaimanapun, peguam Shamin tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen lanjut.

Mohammad Asaduzzaman menambah, Shamin telah menjadi orang tengah kepada organisasi yang menggunakan kem latihan dikendalikan Barisan Nasional Kuci-Kin (KNF), sebuah kumpulan pemberontak kebanyakan anggotanya beragama Kristian.

Pada hujung Oktober lalu, pasukan keselamatan Batalion Tindakan Pantas Elit telah melancarkan serangan terhadap kem KNF dan Jamaat al Ansar fil Hindal Sharqiya di tiga bandar terpencil berhampiran sempadan India serta menahan puluhan orang.

Tindakan keras itu memaksa ratusan penduduk melarikan diri dengan merentasi sempadan dan berlindung di negeri timur laut India, Mizoram. - AFP