Pembekuan permit pindahan padi ke luar negeri bersifat sementara

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Pembekuan permohonan permit pindahan padi ke luar negeri yang berkuat kuasa 20 Jun lepas merupakan satu langkah intervensi bersifat sementara untuk terus memastikan bekalan beras sentiasa stabil di dalam pasaran negara.

Walau bagaimanapun, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan sekiranya terdapat keperluan Pelesen Membeli Padi untuk menjual padi di luar negeri, permohonan boleh dibuat di pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB) negeri untuk pertimbangan dan kelulusan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

Permohonan tersebut akan diteliti dan dipertimbangkan oleh KPKM secara case by case basis, menurut KPKM dalam kenyataan berhubung isu pembekuan permohonan permit pindahan padi ke luar negeri di sini, hari ini.

KPKM memaklumkan, arahan tersebut hanya melibatkan permohonan permit pindahan padi oleh Pelesen Membeli Padi, manakala petani masih boleh menjual hasil padi mereka di mana-mana kilang termasuk kilang di negeri lain.

Keputusan itu telah mengambil kira kepentingan dan hak petani, menurut KPKM.

KPKM memaklumkan petani hanya perlu memohon permit pindahan padi daripada pejabat KPB negeri berkenaan sekiranya ingin menjual padi ke kilang luar negeri.

"Sesi libat urus juga akan diadakan bersama pihak-pihak berkepentingan bagi memperjelaskan isu-isu yang berbangkit untuk memastikan bekalan beras tempatan sentiasa stabil di pasaran dengan harga yang dikawal sebagai pilihan beras yang murah kepada pengguna,” menurut kenyataan itu. - Bernama