Kes deman denggi di Pahang meningkat 130 peratus

39 lokaliti wabak telah tamat fasa kawalan dan pemantauan manakala dua lokaliti masih aktif di Taman Cenderawasih Indah serta Taman Pandan Perdana 1. -Gambar hiasan 123RF. (Gambar kecil: Nor Azimi)
39 lokaliti wabak telah tamat fasa kawalan dan pemantauan manakala dua lokaliti masih aktif di Taman Cenderawasih Indah serta Taman Pandan Perdana 1. -Gambar hiasan 123RF. (Gambar kecil: Nor Azimi)
A
A
A

KUANTAN - Pahang merekodkan 550 kes deman denggi bagi tempoh Januari hingga 17 Jun lalu.

Situasi itu menunjukkan peningkatan 130 peratus atau 311 kes berbanding 239 kes yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, daerah Kuantan mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 320 kes diikuti Temerloh (41 kes), Bera (36 kes), Raub (35 kes), Bentong (28 kes), Maran (22 kes), Rompin (22 kes), Lipis (16 kes), Pekan (14 kes), Jerantut (11 kes) dan Cameron Highlands (5 kes).

Begitupun katanya, dalam tempoh itu tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan di negeri ini.

"Terdapat 41 lokaliti wabak demam denggi dilaporkan di Pahang sehingga 17 Jun lalu iaitu meningkat sebanyak 12 lokaliti atau 242 peratus berbanding 29 lokaliti pada 2022.

"Sebanyak 39 lokaliti wabak di daerah Kuantan dan masing-masing satu lokaliti di daerah Raub dan Temerloh," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Nor Azimi berkata, 39 lokaliti wabak telah tamat fasa kawalan dan pemantauan manakala dua lokaliti masih aktif iaitu di Taman Cenderawasih Indah serta Taman Pandan Perdana 1 dekat sini.

"Sehingga 17 Jun juga, sebanyak 262,155 premis telah diperiksa dan 2,043 premis ditemui pembiakan nyamuk aedes.

"Sebanyak 476 premis telah dikompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan) 2000, dengan nilaian kompaun RM 238,000," ujarnya.

Beliau berkata, 384 notis di bawah Seksyen 8, akta yang sama telah dikeluarkan kepada penduduk yang membiarkan premis mereka berpotensi pembiakan jentik-jentik aedes dan sebanyak 344 premis telah dijalankan tindakan susulan oleh penguat kuasa.

Sementara itu, Nor Azimi berkata, Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 2023 Peringkat Negeri Pahang dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up (1HMCU) telah diadakan di Taman PASDEC Makmur, Indera Mahkota 2, di sini pada Sabtu.

" Taman PASDEC Makmur dipilih berikutan berlaku tiga kes wabak demam denggi berulang dengan sembilan kes dilaporkan tahun ini selain dua kes sporadik di lokaliti tersebut.

"Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan kerjasama masyarakat dalam mencegah penularan berterusan jangkitan dan wabak demam denggi di lokaliti itu dan di negeri Pahang secara amnya," katanya.