Jaro bakal terbit buku masakan masyarakat Rawa

Mohamed (kiri) menyerahkan buku terbitan Jaro kepada Mohd Azlan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Jaro ke-10 di The Nahara Kalumpang pada Sabtu.
Mohamed (kiri) menyerahkan buku terbitan Jaro kepada Mohd Azlan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Jaro ke-10 di The Nahara Kalumpang pada Sabtu.
A
A
A

HULU SELANGOR – Persatuan Jalinan Rawa Malaysia (Jaro) bakal menerbitkan buku mengenai masakan tradisi etnik itu tidak lama lagi.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohamed Hamzah berkata, tujuan buku berkenaan diterbitkan adalah untuk menghimpunkan resepi masakan etnik Rawa untuk dijadikan rujukan dimasa akan datang.

Menurutnya, ini merupakan salah satu usaha persatuan itu selepas berjaya menerbitkan sembilan judul buku berkaitan etnik itu antaranya Puisi Rawa Nusantara, Kamus Melayu-Rawa, Sekondakhati dan Biografi Tokoh Rawa.

“Kita mahu generasi akan datang mengenali susur galur, peradaban dan budaya masyarakat Rawa melalui penerbitan buku.

“Buat masa ini kita sedang mengumpulkan bahan bagi menerbitkan bukan masakan kerana etnik Rawa yang berasal dari Sumatera Barat seperti juga etnik-etnik lain yang mempunyai keunikan budaya dan tradisinya tersendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Jaro ke-10 di The Nahara Kalumpang pada Sabtu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Perak, Mohd Azlan Helmi. Turut hadir Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Jelas Mohamed, persatuan juga sedang berusaha untuk mendapatkan hak pemilikan tanah untuk bangunan wismanya di Gopeng, Perak.

“Bangunan ini lengkap dengan pejabat untuk Jaro beroperasi, kita bercadang mahu mengubahsuai wisma berkenaan untuk dijadikan galeri dan pusat aktiviti namun belum menjadi kenyataan kerana status hak milik tanah,” jelasnya.

Sementara itu, berhubung hak milik tanah bangunan wisma Jaro, Mohd Azlan berkata perkara itu kini dalam perhatian pihaknya.

“Saya ada terima permohonan dan kita sedang meneliti dan cuba membantu menyelesaikan isu pemilikan tanah terbabit memandangkan sudah 10 tahun mereka beroperasi di kawasan itu,” katanya.

Tambahnya lagi, usaha itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menarik minat golongan muda menyertai NGO.

“Bukan sahaja di Perak, bahkan diperingkat nasional kita bersedia membantu memandangkan aktiviti berpersatuan dapat melahirkan generasi berbudaya, hormat menghormati tanpa mengenal bangsa dan agama,” ujarnya.