PRN: 34 kerusi jadi tumpuan, penentu parti bentuk kerajaan

Poster bendera parti bertanding sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 lalu. - FOTO ROSLI TALIB
Poster bendera parti bertanding sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 lalu. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Gelanggang pilihan raya negeri (PRN) di Selangor tidak lama lagi bakal menyaksikan perhatian ramai tertumpu kepada kempen dan pertembungan sengit di 34 kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu, kata penganalisis politik.

Dengan sokongan kawasan bandar diramal terus didominasi Pakatan Harapan (PH), pandangan ramai penganalisis adalah penguasaan di semua 34 kerusi itu, yang lebih 60 peratus adalah pengundi Melayu, akan membolehkan pemenangnya membentuk kerajaan negeri.

Felo Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata, secara tradisi kerusi majoriti pengundi Melayu yang kebanyakannya di utara Selangor menjadi medan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), namun dengan senario politik semasa, persaingan meraih undi di kawasan itu pastinya lebih menarik.

Katanya, 22 lagi kerusi dipertandingkan di Selangor adalah kawasan pengundi bercampur serta pengundi bukan Melayu yang tinggi, dan kawasan ini diyakini akan kekal menyokong PH.

Beliau percaya, kerjasama antara PH selaku kerajaan negeri yang kini bersama BN, akan memberi kelebihan kepada mana-mana calon daripada kedua-dua parti itu dari sudut sokongan akar umbi untuk berdepan calon daripada PN, yang terdiri daripada komponen PAS, Bersatu dan Gerakan pada PRN kelak.

"Jika kerjasama PH-BN dapat diterjemahkan di peringkat negeri, saya yakin ia akan menjadi kelebihan besar kepada calon-calon mereka untuk berdepan dengan PN di 34 kerusi kritikal berkenaan.

"Dinamika politik semasa gabungan PH-BN ini dilihat boleh menjadi faktor merubah pola sokongan yang diterima PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas," katanya kepada Bernama.

Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh pula berpandangan, kejayaan PN mendominasi kerusi Parlimen di kawasan utara Selangor, yang majoriti adalah pengundi Melayu pada PRU15, menjadikan pertembungan pada PRN kali ini lebih menarik dan mencabar.

Beliau berkata, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoriti pengundi Melayu antaranya Sungai Air Tawar; Sabak; Sungai Panjang, Hulu Bernam; Batang Kali; Sungai Besar; Permatang; Jeram dan Kuang pastinya diidamkan semua parti politik yang bertanding dalam usaha mereka mengimbangi pola pengundian pengundi bukan Melayu yang tinggi di 22 kerusi di kawasan bandar.

"Mengambil kira kejayaan PN di Parlimen Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang dan Hulu Selangor pada PRU15, kita dapat jangkakan satu pertembungan menarik di kawasan utara Selangor ini dalam usaha semua parti memenangi undi orang Melayu.

"Namun, dengan PH dan BN kini berada dalam satu gabungan yang sama, saya yakin trend pengundian peringkat Parlimen pada PRU lepas bukan jaminan mutlak undi masyarakat luar bandar pada PRN ini kekal memihak PN," katanya.

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dan untuk mendapat majoriti mudah, parti bertanding perlu memenangi 29 kerusi bagi membentuk kerajaan. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH mendominasi Selangor apabila menang 51 daripada 56 kerusi DUN, diikuti BN dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

Kedudukan terkini kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PKR (19), DAP (15), Amanah (enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua), manakala Pas, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat bebas selain satu kerusi diisytiharkan kosong.

DUN Selangor bagi penggal ke-14 yang tempoh mandat sepatutnya tamat pada 25 Jun, secara rasminya dibubarkan semalam, sekali gus memberi laluan untuk diadakan PRN.

Selangor adalah antara enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini, dengan lima lagi negeri adalah Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang.

Untuk rekod, pada PRU15 di Selangor, PH menguasai 16 kawasan Parlimen iaitu Kota Raja, Pandan, Sepang, Kuala Selangor, Selayang, Gombak, Ampang, Hulu Langat, Bangi, Puchong, Subang, Petaling Jaya, Damansara, Sungai Buloh, Shah Alam dan Klang. PN pula memenangi enam kerusi Parlimen iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat. - Bernama