PRN: DAP mahu lebih kuota kerusi jika potensi menang

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
A
A
A

ALOR SETAR - DAP berharap parti itu diberikan lebih kerusi untuk ditandingi di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, sekiranya calon DAP diyakini mempunyai peluang lebih cerah untuk menang di sesebuah Dewan Undangan Negeri (DUN), ia wajar dipertimbangkan.

Menurutnya, walaupun terdapat permohonan dari negeri untuk menambah kuota kerusi namun parti itu terikat kepada pucuk pimpinan parti yang kini bergabung bawah Kerajaan Perpaduan.

“Jika bolehlah kita merayu kepada pucuk pimpinan, berikan peluang kerusi lebih jika calon DAP ada peluang cerah untuk menang.

“Namun kita terikat kepada keputusan pucuk pimpinan, jika bolehlah (dapat kuota lebih),” katanya pada sidang akhbar di sini selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Teluk Wanjah pada Sabtu.

Mengulas sama ada hasrat DAP tersebut telah dikemukakan kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH), Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata, semua cadangan berkaitan PRN sudah dibincangkan dan kini di peringkat akhir.

“Semua cadangan-cadangan telah pun dikemukakan. Kita sudah sampai ke peringkat akhir, tinggal sedikit saja, tak ada masalah,” ujarnya.

Ditanya mengenai kewajaran menambah kuota calon DAP di Kedah yang menyaksikan hanya dua calon bertanding di DUN Derga dan Kota Darul Aman sejak beberapa pilihan raya lalu, Kor Ming meminta semua pihak bersabar sehingga ke hari pengumuman calon.

“Tunggu pengumuman, selepas DUN bubar, durian akan runtuh,” katanya secara berkias.

Dalam pada itu, Kor Ming berharap pengundi akan membuat pilihan secara bijak dalam PRN ini dengan melihat kepada prestasi Kerajaan Perpaduan.

“Negara kita baru pulih dari pergolakan politik, sehinggakan dalam satu penggal bertukar empat Perdana Menteri. Pasti rakyat tak mahu (berulang). Sekiranya pergolakan berterusan, tak ada pelabur akan datang dan ekonomi tidak membangun, akhirnya rakyat menerima musibah.

“Saya merayu kepada pengundi termasuk di Kedah, kekalkan PH (sebagai kerajaan Persekutuan) untuk kestabilan politik supaya pelabur lebih yakin teruskan pelaburan,” jelasnya.

Kor Ming turut berkongsi pencapaian negara bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat dapat membuat penilaian dengan bijak.

“Semalam IMD World Ranking umumkan Malaysia pertama kali mengalahkan Korea Selatan, dari aspek ‘world competitiveness ranking’. Malaysia melonjak dari kedudukan 32 kepada 27 mengatasi Korea Selatan. Sebab itu saya katakan kepimpinan berintegriti bawah Perdana Menteri mula membuahkan hasil.

“Jabatan Statistik Malaysia pula kemukakan, inflasi negara menurun ke paras 2.8 peratus dan antara terendah dalam tempoh 30 bulan. Ini bermaksud negara kita sekarang dalam landasan yang betul, cuma perlukan masa,” ujarnya.

Dalam pada itu, tegasnya, Kerajaan Perpaduan amat menghormati amalan demokrasi selain sentiasa mendengar suara rakyat.

“Kerajaan Malaysia Madani tak mainkan sentimen perkauman atau fahaman agama sempit yang keterlaluan. Fokus kita hanya jalankan amanah dan bekerja untuk rakyat,” jelasnya.