HSA siasat dakwaan kakitangan 'tolak' terima pesakit

Tian Soon (dua kanan) mendengar taklimat berhubung Unit Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles, Medini, Iskandar Puteri, pada Sabtu.
Tian Soon (dua kanan) mendengar taklimat berhubung Unit Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles, Medini, Iskandar Puteri, pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pihak pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru akan menyiasat secara terperinci dakwaan seorang kakitangannya menolak kehadiran pesakit yang hadir bagi mendapatkan rawatan.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, siasatan dakwaan berkenaan akan dibuat secara dalaman oleh pihak pentadbiran HSA kerana tidak mengetahui keadaan sebenar semasa kejadian.

"Kita tidak tahu punca kejadian berkenaan, jadi biarlah satu siasatan dibuat terlebih dahulu dan perkara ini akan dikendalikan pengurusan hospital sendiri," katanya selepas merasmikan Unit Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles, Medini di sini pada Sabtu.

Pada Khamis tular satu rakaman video dalam aplikasi TikTok mendakwa kakitangan HSA menolak seorang pesakit daripada bertemu dengan Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) hospital itu.

Rakaman tersebut turut menunjukkan pesakit terbabit iaitu seorang wanita bercakap dengan kakitagan HSA dalam nada suara yang tinggi.

"Kalau saya berdarah pun tak boleh jumpa doktor, sekarang saya nak jumpa siapa. Hello, jawab saya boleh tak, eh," kata wanita berkenaan.

Video tersebut bagaimanapun sudah diturunkan daripada aplikasi berkenaan, namun masih menjadi perbualan dalam kalangan netizen.

Sementara itu, Pengarah HSA, Dr Sal Atan pula berkata, JKT memberi perkhidmatan 24 jam untuk kes kecemasan dan sebelum 4 Jun 2023,

jabatan berkenaan turut menyediakan rawatan kes bukan kecemasan selepas waktu pejabat, cuti hujung minggu dan cuti pelepasan am.

"Namun, pada 4 Jun 2023, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan projek rintis 'extended hour' klinik kesihatan yang melibatkan

Klinik Kesihatan Mahmoodiah dengan kerjasama JKT HSA.

"Sehubungan itu, pengurusan hospital sedang menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti faktor kedatangan pesakit ke JKT sama ada atas kes kecemasan atau kes bukan kecemasan.

"Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa, di mana HSA sentiasa berusaha memberi perkhidmatan perawatan terbaik. Segala kesulitan yang timbul berhubung perkara ini amat dikesali," jelasnya.