Umum projek di Kedah bukan ‘umpan’ PRN

Kor Ming (kiri) mendengar taklimat berkenaan projek menaik taraf Pasar Teluk Wanjah pada Sabtu.
Kor Ming (kiri) mendengar taklimat berkenaan projek menaik taraf Pasar Teluk Wanjah pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Projek menaik taraf infrastruktur kemudahan awam yang diumumkan mencecah RM36.34 juta di Kedah bukan dijadikan ‘umpan’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan berkenaan merupakan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat diberikan keutamaan.

Menurutnya, kerajaan Malaysia Madani sentiasa bersikap adil dan saksama dalam pengagihan peruntukan tanpa melihat kepada perbezaan fahaman politik.

“Peruntukan diberikan bukan sempena PRN. Kesejahteraan rakyat keutamaan kerajaan tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

“Setiap sen yang dibelanjakan harus memanfaatkan rakyat, bukan setakat dalam bentuk pembangunan ekonomi termasuk aspek keinsanan. Kerajaan Perpaduan tidak pernah menganaktirikan mana-mana negeri, setiap negeri menerima peruntukan yang disalurkan supaya tiada sesiapa tercicir,” katanya pada sidang akhbar di sini selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Teluk Wanjah pada Sabtu.

Dalam siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT ke Kedah, Kor Ming mengumumkan 95 projek bernilai RM36.34 juta diluluskan merangkumi 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Peruntukan yang besar sekiranya dimanfaatkan tanpa ketirisan dan pembaziran, akan menepati sasaran. Oleh itu penting untuk Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran, majlis daerah pastikan setiap peruntukan dilaksanakan dengan sempurna,” ujarnya.

Menurutnya, antara empat projek dinaik taraf termasuk Pasar Teluk Wanjah yang dibina pada tahun 2012 menerima peruntukan RM500,000 bagi melaksanakan 10 skop kerja, antaranya membina tandas di medan selera.

“Dewan Datuk Syed Omar berusia lebih 30 tahun menjadi tumpuan mengadakan aktiviti sukan, riadah dan pameran jualan. KPKT luluskan peruntukan RM350,000 untuk enam skop kerja baik pulih.

“Projek naik taraf sistem perparitan di Taman Pulai Jaya Alor Setar pula sebanyak RM700,000 bagi kerja-kerja menghindari banjir kilat. Seterusnya, menyediakan kemudahan awam di Dataran Kejat Medan Selera Darul Aman berusia lebih 30 tahun sebanyak RM280,000,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini KPKT telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3.78 juta untuk Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bagi melaksanakan 12 projek.

“Kesemua empat projek infrastruktur terbabit bernilai lebih RM1.8 juta dan harus bermula segera dan KPKT akan turunkan peruntukan secepat mungkin. Kita mahu setiap projek dapat disiapkan tahun ini.

“Projek yang terpilih adalah projek berimpak tinggi yang dekat di hati rakyat seperti naik taraf pasar awam, baik pulih tandas, baiki jalan rosak, pasangkan lampu solar, mampan, hijau dan jimat tenaga. Kita berikan peruntukan berdasarkan kepada apa yang rakyat mahukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kor Ming memaklumkan, semua permohonan PBT kini perlu dilengkapi bilangan kuantiti (BQ) yang disahkan oleh Juruukur Bahan supaya kos berpatutan bagi mengurangkan pembaziran dan ketirisan.

“Kelulusan projek kini diberikan keutamaan kepada permohonan PBT yang lengkap dengan BQ, mudah untuk kita ketahui anggaran kos bagi sesuatu projek.

“Kerajaan sebelum ini tidak ada, dulu hanya mohon dan tulis, sekarang tidak lagi. Semua berlandaskan kepada prinsip ketelusan dan akauntabiliti,” tegasnya.