Belia perlu sertai Askar Wataniah

Peserta Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela bergambar pada perasmian pembukaan kursus di Polisas di Kuantan semalam.
Peserta Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela bergambar pada perasmian pembukaan kursus di Polisas di Kuantan semalam.
A
A
A

KUANTAN - Golongan belia dan penuntut institusi pengajian tinggi disaran menceburi Askar Wataniah dalam usaha membentuk disiplin dan menghindari budaya negatif.

Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Tengku Kamarulzaman Sultan Abu Bakar berkata, ia boleh mengelak belia daripada terlibat dengan gejala dadah dan rempit.

Menurutnya, golongan muda dan penuntut juga mendapat manfaat dari segi elaun yang boleh menjadi pendapatan sokongan untuk pembelajaran.

“Saya menyeru anak anak muda negeri Pahang supaya menceburi Askar Wataniah kerana mereka bukan hanya mendapat latihan ketenteraan, malah mendapat rezeki untuk menampung kehidupan.

“Latihan yang disediakan turut membentuk disiplin yang tinggi,” katanya pada sidang media Perasmian Pembukaan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela Siri 1/2019 di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di sini semalam.

Kursus tersebut disertai 75 pelajar Polisas dan 15 penuntut Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas).

Peserta akan mengikuti kursus selama sebulan bermula 27 April lalu sehingga 26 Mei 2019 membabitkan Latihan Menembak di Lapang Sasar 7RRD Mentakab dan Latihan Medan di Hutan Simpan Bukit Galing.

Artikel Berkaitan:

Kamarulzaman membuat pemeriksaan perbarisan.
Kamarulzaman membuat pemeriksaan perbarisan.

Tengku Kamarulzaman berkata, pelbagai kegusaran mengenai gejala rempit dalam kalangan belia disuarakan dan masalah itu pernah disebut dalam mesyuarat Penggal Kedua Persidangan Dewan Negeri Pahang ke-14 baru-baru ini.

“Gejala ini bukan sahaja merugikan masa depan individu itu bahkan negeri dan negara amnya kerana generasi muda adalah pelapis kepimpinan masa depan.

“Sebab itulah saya amat mengalu-alukan golongan belia di negeri ini untuk membabitkan diri dalam Askar Wataniah.

“Untuk Batalion Pertama, kita mempunyai 1,082 kekuatan anggota di bawah Rejimen 505 Askar Wataniah daerah Kuantan dan Maran.

“Seramai 780 daripadanya aktif menjalani latihan dan program,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta kursus, Guan Zilin, 19, yang merupakan penuntut Diploma Geometrik Semester 2 Polisas berkata, dia menyertai Askar Wataniah sebagai menzahirkan kesanggupannya untuk berkorban tenaga demi negara.

“Saya juga mahu membanggakan keluarga, melatih disiplin dan kekalkan fizikal yang baik.

“Ibu bapa pun sokong saya sertai Askar Wataniah walaupun saya anak tunggal,” katanya.