Josue aset Harimau Malaya

Josue meraikan jaringannya ketika Harimau Malaya menentang Papua New Guinea dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa lalu. - Foto: Bernama
Josue meraikan jaringannya ketika Harimau Malaya menentang Papua New Guinea dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa lalu. - Foto: Bernama
A
A
A

PENAMPILAN pemain naturalisasi, Paulo Josue bersama skuad Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu baru-baru ini cukup berbaloi apabila dia merekodkan empat gol.

Kehadiran pemain kelahiran Brazil itu ternyata menambah taring buat jentera serangan Harimau Malaya selepas dia turut membuat penampilan dalam dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Mac lalu.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, kapten Kuala Lumpur City (KL City) FC itu mempunyai aura tersendiri dan memiliki daya kepimpinan sebagai ‘jeneral padang’.

Menurutnya, keupayaan teknikalnya mampu mengucar-ngacirkan kubu lawan, malah sebagai nilai tambah, Josue mampu menghasilkan jaringan buat pasukan negara.

“Saya melihat penampilan Josue bersama skuad negara berbaloi. Dia mempunyai kemahiran teknikal, pandai baca permainan dan killer pass dia juga banyak membantu pasukan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Josue mempamerkan karakternya sebagai pemain tengah menyerang apabila meledak empat gol, satu jaringan ketika kemenangan 4-1 ke atas Kepulauan Solomon sebelum dia melakar hatrik atas kejayaan membenam Papua New Guinea 10-0 pada Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Azraai berkata, Josue juga cepat belajar dan dilihat serasi dengan corak permainan diterapkan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon serta mampu membentuk gandingan mantap dengan rakan-rakan sepasukan.

“Josue memiliki kelebihan daripada sepakan percuma. Cuba lihat free kick dia ketika membantu KL City menewaskan Sri Pahang 2-1 dalam saingan Liga Super, awal Jun lalu.

“Sepakan curve Josue menerjah ke penjuru gawang yang sukar diselamatkan oleh penjaga gol. Pemain seperti ini yang perlu ada dalam pasukan kebangsaan,” jelasnya.

Selain Josue, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Endrick dos Santos antara ‘muka baharu’ naturalisasi yang telah mendapat kepercayaan Pan-gon dalam empat perlawanan persahabatan tahun ini.

Selain Josue dan Endrick, Harimau Malaya pernah menggunakan khidmat dua lagi pemain naturalisasi, Sergio Aguero dan Lee Tuck pada kempen Piala AFF 2022.

Sebelum itu, Harimau Malaya menyandarkan kudrat tiga pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula dalam beberapa tugasan antarabangsa.