'Jangan lagi fikir soal KJ' - Ahmad Faizal

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

SEREMBAN - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap persoalan sama ada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan menyertai parti itu atau sebaliknya tidak lagi difikirkan.

Menurutnya, ada perkara lain yang perlu lebih diberi perhatian berbanding daripada memikirkan soal kedudukan seseorang pemimpin.

"Saya harap kita tak perlu terlalu fikir tentang seorang pemimpin, tapi perlu bimbang keadaan kos sara hidup rakyat begitu tinggi dan sebagainya yang perlu diberi keutamaan.

"Pemimpin politik datang dan pergi, kami semua sepatutnya beri fokus untuk pelihara rakyat daripada memikirkan di mana seseorang nak bertanding," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan PN Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian menjawab status bekas Ahli Parlimen Rembau itu dengan Bersatu.

Bagaimanapun ujarnya, beliau menghargai pemimpin seperti Khairy yang meletakkan rakyat lebih penting daripada kedudukan sendiri.

"Yang pentingnya Khairy seorang tokoh pimpinan yang bukan mengharapkan jawatan, bertanding dalam pilihan raya atau gelaran berhormat sebagai satu keperluan.

"Beliau saya lihat sebagai seorang tokoh pimpinan yang sanggup bekerja untuk rakyat dan negara dalam apa juga kapasiti. Itu jauh lebih penting," katanya.

Ahmad Faizal juga memberitahu, ada berjumpa dengan Khairy pada malam Khamis dan membincangkan perihal rakyat.

"Malam semalam saya dengan dia dan kami ada satu perbincangan yang cukup panjang, menarik dan insya-ALLAH akan membuahkan hasil seperti mana kita harapkan," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Khairy mengakui sudah mempunyai jawapan berhubung pelawaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai parti tersebut.

Bercakap ketika podcast 'Keluar Sekejap', bekas Ketua Pemuda UMNO itu bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas mengenai jawapan diberikan kepada Muhyiddin.

"Saya telah jumpa dan beri pandangan saya tetapi beliau minta saya fikir lagi.

"Bagi saya ada kata putus, tetapi apabila pemimpin yang saya sanjungi minta saya fikirkan lagi. Kita fikirkan lagilah," katanya.