Menang saman RM10 juta: Signal PKR pelihara mandat rakyat

Fadhlina Sidek. - Foto Bernama
Fadhlina Sidek. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan RM10 juta kepada bekas ahli Parlimen parti itu yang melanggar syarat bon parti merupakan signal jelas bahawa parti tersebut memelihara mandat diberikan oleh rakyat.

Ketuanya, Fadhlina Sidek berkata, perbuatan beralih dari satu parti ke parti lain hanya atas kapasiti kepentingan peribadi wajib dinoktahkan.

“Perbuatan khianat dan kacau ganggu demokrasi telah pun meletakkan negara di kancah ketidakstabilan politik dan ekonomi dan kos sebenar adalah melangkaui jumlah RM10 juta pada dasarnya.

“Sistem emokrasi berparlimen harus terus dipelihara dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat membenarkan PKR untuk menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin berhubung isu pelanggaran syarat bon yang mengikatnya kepada PKR.

PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti jumlah itu selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Parti itu mendakwa pada atau sekitar 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun memilih untuk kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai PN.

Dalam pada itu, ujar Fadhlina, keputusan berkenaan jelas merupakan kemenangan kepada rakyat yang memberikan mandat kepada individu-individu yang bertanding di bawah tiket parti.

“Wanita PKR menyambut baik keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan parti untuk menuntut RM10 juta daripada bekas-bekas ahli Parlimen PKR yang melanggar syarat bon parti,” menurutnya.

ARTIKEL BERKAITAN:PKR boleh tuntut RM10 juta daripada Zuraida - Hakim

PKR teruskan saman 10 bekas ahli Parlimen keluar parti

Saman PKR terhadap Zuraida keputusan tepat - Nik Nazmi