FAMA jamin bekalan mencukupi sepanjang Ramadan

Ishak (tengah) pada sidang media selepas majlis Pelancaran Jimat Belanja Pra Ramadan @ Pasar Tani 2019 Peringkat Kebangsaan di sini semalam.
Ishak (tengah) pada sidang media selepas majlis Pelancaran Jimat Belanja Pra Ramadan @ Pasar Tani 2019 Peringkat Kebangsaan di sini semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan keperluan komoditi utama pasar tani di seluruh negara di sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Syawal adalah mencukupi.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, bekalan tersebut juga akan dijual dengan harga berpatutan serta mematuhi harga kawalan seperti mana yang ditetapkan kerajaan.

“Anggaran keperluan komoditi utama di pasar tani seluruh negara sepanjang Ramadan seperti daging adalah sebanyak 1,793 ekor lembu, 518,680 ayam dan 184,674 biji kelapa.

“Saya berharap peserta dan usahawan pasar tani dapat memastikan bekalan secukupnya dibekalkan kepada pengguna untuk keperluan Ramadan ini,” katanya pada majlis Pelancaran Jimat Belanja Pra Ramadan @ Pasar Tani 2019 Peringkat Kebangsaan di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran Pasar Tani Khas Pra Ramadan diadakan selaras dengan hasrat kerajaan menangani kenaikan harga barangan keperluan di pasaran terutama menjelang musim perayaan.

“la juga selaras dengan saranan kerajaan agar harga barangan keperluan diturunkan dan tidak membebankan rakyat selain mendidik masyarakat agar pengguna berbelanja secara berhemah terutama dalam membeli barangan keperluan.

“Pasar Tani Pra Ramadhan ini akan melibatkan 174 pasar tani terpilih dan akan mula beroperasi mulai hari ini sehingga 5 Mei 2019,” katanya.

Menurutnya, operasi Pasar Tani Khas ini juga mampu menjadi luang alternatif pengguna dengan memilih barangan seperti ayam, daging, ikan dan sayur di pasar tani yang segar, berkualiti dan harga yang berpatutan.

Artikel Berkaitan:

“Penjimatan antara lima peratus hingga ke 20 peratus berbanding harga pasar setempat adalah ‘trademark’ harga jualan di pasar tani secara keseluruhannya dan ia dilihat sebagai langkah dalam mengimbangi kenaikan harga barangan.

“Sebagai contoh untuk jualan istimewa Pra Ramadan ini, harga sekilogram timun adalah RM3.50 berbanding RM5.00, cili hijau RM12.00 berbanding RM18.00 dan beberapa barangan keperluan yang lain,” katanya.