[VIDEO] Tarif elektrik: Hampir semua pengguna tidak terjejas

Hampir semua pengguna domestik dan bukan domestik voltan rendah tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme pelepasan kos-kos tidak seimbang (ICPT). - Gambar hiasan
Hampir semua pengguna domestik dan bukan domestik voltan rendah tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme pelepasan kos-kos tidak seimbang (ICPT). - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Hampir semua pengguna domestik dan bukan domestik voltan rendah tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme pelepasan kos-kos tidak seimbang (ICPT).

Ia selepas kerajaan bersetuju untuk menampung kos subsidi elektrik sebanyak RM5.2 bilion sempena pelarasan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember depan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.

"Ia merupakan 99 peratus daripada pengguna domestik di Semenanjung dan rebat 2 sen/kWj sebelum ini adalah kekal," katanya menerusi sidang akhbar pelarasan tarif elektrik Semenanjung di sini pada Jumaat.

ICPT adalah mekanisme yang diluluskan oleh kerajaan dan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga sejak 1 Januari 2014 di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

Mekanisme ICPT membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai utiliti mengatasi perubahan kos bahan api dan penjanaan untuk dilepaskan kepada pelanggan melalui tarif elektrik setiap enam bulan bagi tujuan pelarasan dalam bentuk rebat atau surcaj.

Menurutnya, pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik di mana surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

"Dalam erti kata yang lain, perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel kecil, petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik," katanya.

Beliau berkata, kategori baharu pengguna bukan domestik iaitu operator air dan pembentungan di negeri akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 3.7 sen/kWj.

Ia berikutan purata harga bahan api menurun dari AS$224 per metrik tan pada Julai sehingga Disember 2022 kepada AS$173.5 per metrik tan bagi Januari sehingga Jun 2023.

"Operator air di bawah kerajaan negeri akan menikmati surcaj yang lebih rendah untuk tempoh Julai hingga Disember," katanya.

Nik Nazmi berkata, keputusan itu adalah selaras dengan usaha kerajaan bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan operator air untuk menyediakan air terawat dan bersih kepada pengguna.

Ujar beliau, pengguna bukan domestik iaitu pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) daripada kalangan industri dan komersial akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj.

"Pengguna bukan domestik MV dan HV ini akan menikmati penurunan bil elektrik di antara 28 hingga 35 peratus sebulan," katanya.

Hanya satu peratus alami kenaikan bil

Selaras dengan hasrat Kerajaan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya subsidi elektrik dilaksanakan secara bersasar bermula Julai, Nik Nazmi berkata, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

"Dianggarkan seramai 83,000 pengguna iaitu satu peratus pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum sebanyak RM187 atau 25 peratus," kata beliau.

Menurutnya, walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori itu, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya.

"Pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing," katanya.

Nik Nazmi berkata, pemberian subsidi tersebut diharap dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dalam tempoh pemulihan ekonomi dan sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan.