Medan ujian buat Misbun di Indonesia - Norza

Misbun Sidek . - Foto Agensi
Misbun Sidek . - Foto Agensi
A
A
A

KEJOHANAN Badminton Remaja Asia 2023 di Yogyakarta, Indonesia bulan depan akan menjadi medan ujian buat Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Datuk Misbun Sidek untuk memastikan anak buahnya menunjukkan prestasi sebenar di pentas antarabangsa.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, ia selepas prestasi hambar skuad muda negara di Kejohanan Remaja Dunia 2022 di Santander, Sepanyol, Oktober lepas yang menyaksikan tiada kelibat wakil negara di pentas akhir.

"Misbun sudah meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) beliau untuk menempa kejayaan dan sekurang-kurangnya di peringkat Asia kalau bukan di peringkat dunia.

"Saya berharap Misbun sebagai jurulatih tahu apa dilakukan beliau dan kita (BAM) sentiasa beri sokongan kepada beliau melatih pasukan remaja kita menempa kejayaan di peringkat Asia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Olimpik 2023: Majlis Olimpik Malaysia - Kementerian Pendidikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ditanya sama ada sasaran BAM kepada skuad remaja yang akan menggalas cabaran negara pada kejohanan dari 7 hingga 16 Julai itu adalah untuk mara ke final, Mohammad Norza secara ringkas berkata: "Insya-ALLAH".

Seramai 16 pemain yang akan membawa cabaran Malaysia di Indonesia iaitu bagi acara perseorangan lelaki Eogene Ewe, Jan Jireh Lee, Muhammad Faiq Haziq dan Lok Hong Quan manakala Ong Xin Yee, Siti Zulaikha Azmi serta Ung Yi Xing bagi perseorangan wanita.

Beregu lelaki pula diwakili Bryan Jeremy Goonting, Low Han Chen, Aaron Tai Wei Qin, Kang Khai Xing, Hong Quan, sementara Carmen Ting, Lai Ting Cen, Chong Jie Yu, Clarissa San dan Chan Wen Tse bagi beregu wanita.

Misbun sebelum ini beralih jawatan daripada Pengarah Pembangunan Remaja BAM kepada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja pada Februari lepas, selepas Akademi Badminton Malaysia (ABM) melakukan penyusunan semula barisan kejurulatihan skuad remaja negara susulan prestasi mengecewakan di Kejohanan Remaja Dunia 2022. - Bernama