Ejen nafi Klopp latih Jerman

Klopp - Foto Agensi
Klopp - Foto Agensi
A
A
A

EJEN jurulatih berpengalaman, Jurgen Klopp menafikan khabar angin bahawa pengurus Liverpool itu akan meninggalkan Anfield untuk melatih pasukan kebangsaan Jerman.

Spekulasi itu susulan prestasi hambar Die Mannschaft yang dibimbing Hansi Flick apabila hanya memenangi empat daripada 16 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan sejak 15 bulan lalu.

Akhbar berita Jerman, Bild melaporkan bahawa pelantikan Klopp akan menjadi 'penyelesaian premium' buat Jerman sekiranya mereka memutuskan untuk berpisah dengan Flick.

Bagaimanapun, ejen Klopp, Mark Kosicke menegaskan bahawa jurulatih berusia 56 tahun itu memiliki 'kontrak jangka panjang' bersama The Reds yang akan tamat pada Jun 2026 dan tidak berhasrat untuk meninggalkan Anfield.

“Jurgen mempunyai kontrak jangka panjang dengan LFC dan DFB mempunyai jurulatih kebangsaan, jadi ia bukan satu isu bagi kami,” katanya.

Jerman yang merupakan pemenang Piala Dunia empat kali tersingkir secara mengejut pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 di Qatar.

Prestasi hambar Jerman berterusan setelah sekadar menduduki tempat ketiga dalam kumpulan Liga Negara-Negara selepas memenangi hanya satu daripada enam perlawanan.

Langkah Jerman terus lemah apabila gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan persahabatan semasa rehat antarabangsa bulan ini.

Terikat 3-3 dengan Ukraine diikuti kekalahan berturut-turut tanpa menjaringkan gol menentang Poland dan Colombia.