‘Projek bagus tetapi banyak kerja’

Klinsmann - Foto AFP
Klinsmann - Foto AFP
A
A
A

JURGEN Klinsmann mempertahankan permulaan kurang memberangsangkan sebagai pengendali Korea Selatan apabila masih belum memenangi sebarang aksi daripada empat perlawanannya sejak mengambil alih tugas daripada Paulo Bento.

Sebagai rekod, Klinsmann yang dilantik Februari lalu menyaksikan Taegeuk Warriors seri dua kali dan tewas dua kali ketika

Gergasi Asia yang berada diranking ke-27 dunia itu ketika ini berusaha untuk bangkit selepas ditunjukkan jalan keluar dari pusingan kalah mati Piala Dunia Qatar 2022 tahun lalu.

Klinsmann memulakan era di Korea Selatan bersama Taegeuk Warriors dengan melakar keputusan seri menentang Colombia.

Kemudian diikuti kekalahan menentang Uruguay dan Peru sebelum terikat 1-1 berdepan El Salvador pada Rabu.

“Saya harap dapat membetulkan situasi pasukan secepat mungkin kerana kami sepatutnya memenangi semua empat perlawanan.

“Bukan hanya satu atau dua, sebaliknya dalam keempat-empat aksi Korea merupakan pasukan lebih baik dan bermain bola sepak mengagumkan.

“Terutamanya ketika perlawanan menentang Colombia pada separuh masa pertama, separuh masa kedua menentang Uruguay dan kemudian dua perlawanan dengan Peru dan El Salvador.

“Ya, kami mempunyai begitu banyak peluang, namun tidak masuk,” kata Klinsmann pada sidang akhbar di Seoul pada Khamis.

Sebagai rekod, Klinsmann dilantik tiga tahun selepas tugas terakhirnya bersama kelab Bundesliga Jerman, Hertha Berlin berakhir dengan kekecewaan.

Malah pengambilan bekas pemain yang memulakan karier bersama Stuttgarter Kickers tersebut oleh Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) disifatkan sebagai sesuatu mengejutkan.

Dalam pada itu, bekas penyerang berusia 58 tahun tersebut akur dengan persekitaran baharu ketika mereka cuba membangunkan skuad mantap ke pusingan akhir Piala Asia di Qatar pada Januari depan.

“Ia adalah satu keluk pembelajaran untuk kami jurulatih dan kami belajar banyak dalam tempoh tiga bulan lepas.

“Kami terus belajar bagaimana KFA berfungsi, bagaimana persekutuan ini berfungsi.

“Dalam masa sama kita ada cabaran lain. Kami mempunyai Piala Asia. Kita kena fikir tentang lawan. Ia projek yang bagus tetapi banyak kerja,” katanya.