Kubur di Wang Kelian: Malaysia mohon 10 individu diekstradisi

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi kepada kerajaan Thailand terhadap 10 individu warga negara jiran itu membabitkan kes penemuan kem dan kubur di Wang Kelian, Perlis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permintaan itu dikemukakan pada 6 Januari 2017, selepas negara dikejutkan dengan penemuan kem penempatan sementara dan kubur tersebut pada Mei 2015.

Beliau berkata, susulan penemuan tersebut, pihak berkuasa kerajaan Malaysia dan Thailand telah menjalankan siasatan bagi mengesan dan mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

Kata beliau, selepas hasil siasatan dijalankan, Malaysia telah mengemukakan permintaan ekstradisi kepada kerajaan Thailand ke atas 10 individu warganegara jiran itu pada 2017.

"Sepanjang tempoh lebih enam tahun ini, Malaysia dan kerajaan Thailand telah berusaha mengesan kesemua individu tersebut bagi melaksanakan proses ekstradisi.

"Hasil dari kerjasama baik antara kedua-dua negara, empat daripada 10 individu tersebut telah berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.

"Kes ekstradisi ini telah berjalan di pelbagai peringkat mahkamah di Thailand dan Mahkamah Rayuan Thailand pada 30 Mac lalu akhirnya telah mengeluarkan perintah penahanan ke atas keempat-empat individu tersebut untuk diserahkan kepada Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Saifuddin berkata, berdasarkan perintah Mahkamah Rayuan Thailand itu, penyerahan keempat-empat individu tersebut telah dilaksanakan pada 22 Jun lalu.

Jelasnya, kesemua individu tersebut telah berada di Malaysia dan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis pada Jumaat bagi tujuan pertuduhan.

"Kerajaan Malaysia amnya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Thailand dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses ekstradisi bagi kes Wang Kelian ini berjalan lancar," ujarnya.

Sehubungan itu menurutnya, Malaysia amat berharap kerjasama baik itu dapat diteruskan bagi menjejaki individu-individu lain yang terlibat untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Tegas beliau, KDN sentiasa komited dalam menjaga keselamatan sempadan negara dan memandang serius isu-isu jenayah rentas sempadan khususnya jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

"Usaha berterusan melalui operasi bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan sentiasa dititikberatkan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara," katanya.